Positif tangani anak cedera otak
APABILA anak-anak terlebih aktif, tidak menangis apabila jatuh dari tempat tinggi, kurang kepekaan merasa atau lambat respons terhadap sesuatu perkara yang menggemparkan, anda perlu berhati-hati! Terdapat kemungkinan anak anda mengalami kecederaan otak.
Masyarakat yang menyaksikan senario tersebut pula besar kemungkinan melabelkan anak anda sebagai cacat akal, hiperaktif, lembam, menghidapi penyakit cerebral palsy, autisme, epilepsi atau mungkin juga Down Sindrom. Ibu bapa pula yang tidak mempunyai ilmu perubatan secukupnya mungkin hanya akan membiarkan keadaan tersebut dan menganggapnya sebagai takdir semata-mata.
Bergantung pada apakah kecederaan otak yang dihadapi, anak-anak pastinya akan berhadapan dengan masalah tertentu seperti pergerakan lambat, masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan, pembelajaran atau mungkin juga gabungan antara semua masalah tersebut.
Lebih teruk jika anak tersebut mengalami masalah lain seperti alahan, masalah penghadaman serta masalah kesihatan lain yang boleh menjurus kepada taraf kesihatannya secara keseluruhan.
Dan jika anda membiarkan sahaja perkara tersebut, ia akan menjadi lebih teruk. Padahal kecederaan otak tersebut sebenarnya boleh dirawat hingga anak menjadi normal kembali.
Pakar Terapi Fizikal Institutes for The Achievement of Human Potential (IAHP), Glenn Doman berkata, otak adalah organ utama yang menentukan kelancaran pergerakan seluruh badan.
"Terdapat lima deria yang boleh ditafsir oleh otak iaitu penglihatan, pendengaran, merasa, perasaan dan bau. Manusia mempelajari sesuatu menerusi lima deria ini," jelas beliau.
Doman berkata, terdapat ribuan cara untuk merangsang otak melalui lima pancaindera tersebut.
"Apabila salah satu fungsi otak dapat dipertingkat, maka fungsi lain juga boleh dipertingkat ke tahap tertentu. Perlu diingat, otak semakin berkembang apabila digunakan dan dirangsang," kata penulis buku What To Do About Your Brain-Injured Child ini.
Doman berkata, ramai orang beranggapan bahawa tahap keupayaan otak adalah sama sejak dilahirkan hingga besar. Tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana otak sebenarnya boleh berkembang apabila kita menggunakan cara rangsangan yang betul, bergantung kepada tahap kecederaannya.
Beliau juga percaya bahawa disebabkan pembangunan neurologi kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak boleh dipercepat, perkara yang sama boleh dilakukan kepada kanak-kanak yang sihat.
"Apabila kecederaan berlaku, ia sebenarnya berlaku di dalam otak. Merawati simptom otak tersebut tidak memberi harapan semata-mata tetapi harus diingat, kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak bukanlah tidak mempunyai harapan untuk menjadi normal, cuma perhatian dan cara rawatan perlulah berterusan dan teknik yang betul," jelasnya.
Menurut Doman, rawatan dan terapi pada anak-anak yang mengalami kecederaan otak dilakukan pada pelbagai frasa seperti pergerakan, kepintaran, komunikasi, cara pergaulan, pemakanan, perubatan dan pembedahan jika perlu.
"Ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami simptom yang disebutkan di atas perlu tahu bahawa beribu-ribu kanak-kanak di seluruh dunia yang pernah mengalami kecederaan otak kini dalam proses untuk menjadi normal dan ramai juga yang telah berjaya dalam rawatan mereka.
Setiap ibu bapa harus mengambil langkah proaktif untuk memberi harapan kepada anak yang mengalami kecederaan otak untuk menempuhi kehidupan normal seperti kanak-kanak lain," tambahnya.
Pesan Doman, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak yang mengalami kecederaan otak, perlu mempunyai sikap-sikap seperti di bawah :-
* Jangan ada istilah 'tiada harapan' dalam diri.
* Masa adalah 'musuh' pada kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak, lebih cepat mendapat rawatan, lebih cerah harapan untuk menjadi normal.
* Jangan biarkan anak anda menjadi mangsa rawatan alternatif yang anda sendiri tidak pasti keberkesanannya.
* Beri penerangan pada ahli keluarga lain mengapa rawatan perlu pada anak anda.
* Yakin pada potensi yang ada pada anak, hanya anda yang mengetahui tentang diri anak anda sepenuhnya.
* Anak anda itu sebenarnya lagi tabah daripada yang anda fikirkan.
* Anak itulah yang paling berani dalam ahli keluarga anda.
* Anak anda berhak untuk mendapatkan yang terbaik dan andalah yang perlu mencarinya untuk mereka.
* Akhir sekali, ibu bapa jangan sekali-kali mengaku kalah.
Thursday, June 25, 2009
Positif tangani anak cedera otak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment