Faedah urutan bayi
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
Merangsang perkembangan bayi pra matang dan kumpulan yang perlu rawatan khusus
SENTUHAN dan belaian memang mempunyai kuasa ajaib kerana ia memberi kesan positif terhadap keseimbangan emosi dan psikologi kepada orang dewasa dan kanak-kanak. Hanya beberapa minit sehari, sentuhan dan belaian ibu boleh menjadi perangsang kepada perkembangan psikologi bayi.
Banyak bukti saintifik menunjukkan sentuhan dan belaian yang diberikan dalam bentuk urutan sangat penting untuk perkembangan serta tumbesaran bayi. Malah, urutan dikatakan rawatan alternatif terbaik untuk memberi perlindungan daripada jangkitan pada peringkat awal kehidupan seseorang bayi.
Urutan sangat penting untuk merangsang perkembangan bayi pra matang dan kumpulan yang memerlukan rawatan khusus seperti Sindrom Down, serebral palsi, asma, autistik, kanak-kanak yang mengalami gangguan pasca traumatik dan jangkitan virus HIV.
Bayi dalam senarai di atas biasanya mengalami masalah tumbesaran yang lebih lambat berbanding bayi normal dan dilahirkan cukup bulan. Kajian ke atas bayi pra matang (lahir tidak cukup bulan) yang diberikan urutan pada kepala, bahu, belakang badan, kaki dan tangan selama lima minit tiga kali sehari menunjukkan pertambahan berat badan antara 21 hingga 47 peratus yang membolehkan mereka keluar dari hospital lebih awal.
Bagi kanak-kanak istimewa, urutan antara rawatan yang sangat penting. Urutan ringan yang diberikan kepada bayi bukan saja boleh merehatkan, bahkan turut merangsang peningkatan fungsi otot dan memperbaiki kemampuan otot tangan dan kaki, terutama bayi Sindrom Down yang mengalami masalah otot kendur. Masalah ini menyebabkan mereka sukar bergerak dan berjalan.
Pengarah Bersama Institut Penyelidikan Sentuhan, Miami, Florida, Dr Maria Hernandez-Reif, berkata urutan boleh membantu meningkatkan fungsi motor (pergerakan dan koordinasi otot besar dan kecil) serta memperkemaskan otot bayi.
Banyak kajian menunjukkan urutan boleh menenangkan dan meningkatkan keupayaan kanak-kanak autisme untuk berinteraksi dengan lebih baik berbanding kanak-kanak yang tidak mendapat urutan.
Apabila diurut, badan menghasilkan hormon oksitosin dan endorfin yang membuatkan kita selesa serta membantu meredakan ketidakselesaan akibat tekanan emosi. Malah, ada juga teknik urutan yang dapat mengurangkan masalah sinus dan hidung tersumbat.
Ada juga kajian mendapati urutan boleh mengatasi masalah kolik, iaitu sakit perut akibat pengumpulan angin dalam usus. Perkara ini biasa berlaku pada bayi sehingga menyebabkan mereka tidak mahu menyusu.
Mengurut perut dengan perlahan beberapa kali bukan saja meredakan kesakitan, malah membuat bayi berasa lebih selesa. Pengamal rawatan alternatif ini percaya urutan pada perut bayi yang dilakukan setiap hari dapat mengelak masalah sekatan angin dalam usus.
Dianggarkan 60 hingga 90 peratus penyakit yang berlaku pada bayi disebabkan tekanan dan ia boleh diredakan melalui urutan. Urutan akan memberi ketenangan yang membantu merangsang kebolehan bayi untuk menghadapi tekanan.
Tekanan yang dialami bayi dan kanak-kanak sukar dikesan, kecuali melalui perubahan tingkah laku. Mungkin ada yang bertanya bagaimana bayi boleh mengalami tekanan pada usia semuda itu. Ketika diurut, bayi menerima dua perkara iaitu tekanan dan kelegaan.
Rangsangan yang diberi ketika mengurut dan pergerakan angin pada kulit sebenarnya boleh menjadi sumber tekanan kepada bayi, tetapi ia diseimbangkan dengan suara, bau dan sentuhan ibu atau bapa yang mengurut mereka.
Urutan boleh mengurangkan paras hormon kortisol (hormon tekanan), membuatkan kanak-kanak tidur lebih nyenyak. Malah, kajian Institut Sentuhan Miami, Florida mendapati bayi yang diurut menunjukkan peningkatan sel darah putih yang bertanggungjawab mampu membunuh banyak sel tumor. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan daya ketahanan badan terhadap jangkitan.
Lebih penting, urutan banyak manfaatnya kepada bayi pra matang. Kajian mendapati urutan mampu meningkatkan kemahiran motor dan merangsang perkembangan mental bayi.
Kajian Odense Hospital, Denmark mendapati bayi yang diurut menunjukkan banyak perubahan positif, terutama pada pernafasan, warna kulit, ekspresi wajah, kemampuan menggerakkan anggota badan dan peningkatan paras oksigen dalam darah.
p/s: sumber komuniti mengandung.com
Thursday, June 25, 2009
Faedah urutan bayi
Ditulis oleh ummumuhib
Ketagori : Kesihatan, urutan baby
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
memang bagus teknik urutan ni.. dapat mengeratkan kasih sayang.. senang dan percuma!
Post a Comment