Monday, August 25, 2008

Autisme -Harapan pulih masih ada!


Bismillah.


Assalamualaikum... Kepada semua ibu bapa yg mempunyai anak istimewa autisme, bersabarlah dengan ujian Allah.. Terapi anak dengan sebaiknya, jangan sesekali salahkan diri sendiri, itu semua ujian Allah yg ingin menguji ketabahan anda! mungkin Allah akan gantikan kesusahan ini utk kenikamatan yg lebih abadi.. sedikit maklumat yg saya copy paste..


Autisme mungkin tidak ada dalam senarai perkataan yang biasa digunakan tetapi jangan terkejut atau hairan kerana kanak-kanak seperti ini mungkin ada di sekitar tempat tinggal anda.


Keadaan fizikal kanak-kanak autisme yang normal seperti kanak-kanak lain membuatkan kelainan yang ada pada mereka sukar dikesan melainkan anda melihat beberapa gejala biasa yang mungkin ada pada mereka.


Menurut Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Zasmani Shafiee, autisme adalah gangguan perkembangan otak kanak-kanak yang menyebabkan mereka akan mengalami masalah tertentu.


Katanya, kanak-kanak autisme ini biasanya menghadapi masalah komunikasi, interaksi sosial, pemikiran dan emosi serta berkaitan IQ.


Autisme merupakan satu masalah biologikal yang mengganggu perkembangan dan sistem saraf otak. Sehingga kini tiada ubat-ubatan khusus yang boleh mengatasi nya.


“Kajian menganggarkan 75 peratus daripada kanak-kanak autisme mempunyai masalah rencatan akal sementara 25 peratus mempunyai IQ seperti kanak-kanak normal dan ada ketikanya mencapai IQ yang begitu tinggi.


“Kanak-kanak autisme yang mempunyai IQ tinggi ini biasanya cukup bijak di sekolah terutama dalam bidang yang membabitkan kekuatan hafalan tetapi apabila menyentuh aspek bahasa, mereka agak lemah,” kata beliau.


Dr. Zasmani menerangkan demikian dalam ceramah bertajuk Apakah Autisme dan Kepentingan Pengesanan Awal pada seminar autisme yang dianjurkan oleh Persatuan CHILD dan dibiayai oleh Yayasan Pendidikan Progresif Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Biasanya kanak-kanak seperti ini tidak pandai bergaul dengan rakan sebaya tetapi mereka mempunyai kemahiran yang begitu baik dalam bidang muzik, lukisan dan matematik.


“Saya pernah memberi kaunseling kepada seorang remaja autisme yang begitu bijak terutama dalam mengingati tarikh, saya mengujinya dengan memberikan tarikh lahir saya dan dia dapat memberi hari saya dilahirkan dengan betul.


“Di samping itu saya juga memberi tarikh-tarikh lain untuknya dan amat menakjubkan dia dapat menekanya dengan betul, ini membuktikan ada ketikanya mereka juga mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada kita” jelas beliau.


Keadaan ini membuktikan kanak-kanak tersebut boleh dipulihkan dan menjadi seperti kanak-kanak normal walaupun mungkin mereka akan tetap bermasalah dalam bersosial dengan orang lain.


Kajian menunjukkan dalam 10,000 kelahiran terdapat antara tiga atau empat bayi dilahirkan dengan masalah autisme.


Bagaimanapun, apabila dicampur dengan masalah perubatan yang lain, jumlah ini meningkat tiga kali ganda iaitu 12:10,000 kelahiran.


“Masalah autisme lebih cenderung terjadi di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan iaitu nisbah 4:1,” kata nya.


Kanak-kanak autisme boleh dikenali menerusi beberapa gejala seperti pertuturan yang tidak mempunyai makna untuk difahami oleh orang lain.


Mereka juga sering meniru perkataan-perkataan yang disebut oleh orang lain dengan hanya menyebut perkataan di hujung ayat sahaja (echolalia)


Kanak-kanak autisme tidak dapat memahami apa yang disebut oleh orang lain dan ada ketikanya mereka mungkin dapat bercakap tetapi tidak menggunakan yang sepatutnya untuk berkomunikasi.


Mereka tidak dapat memberitahu apa yang mereka hajati sebaliknya hanya mampu menarik tangan ibu bapa atau penjaga dan membawa kepada sesuatu yang mereka hajati itu, sebagai menyatakan apa yang mereka mahukan.


Dalam masalah perkembangan bahasa pula, mereka mungkin tidak boleh bertutur langsung, boleh bertutur atau boleh bertutur dengan bahasa yang hanya difahami mereka sendiri.


Lazimnya kanak-kanak autis suka melakukan sesuatu perkara secara berulang kali, gemarkan kepada ketepatan dan persamaan dalam semua hal termasuklah mengulang-ulang sesuatu pertanyaan atau perkataan.


Jelas Dr. Zasmani lagi, masalah autisme ini boleh dikesan seawal setahun lebih terutama apabila mereka tidak berinteraksi dengan orang lain sama ada melalui pertuturan, gerak badan atau mimik muka.


Suatu lagi kebiasaan yang boleh diperhatikan, mereka tidak berkebolehan untuk bertentang mata dengan orang lain atau sering memandang sipi, tidak dapat melahirkan perasaan menerusi senyuman, masam atau mengerutkan muka.


Mereka lebih suka bersendirian atau berada dalam dunia mereka sendiri serta tidak tahu mengawal perasaan dan ada ketikanya menjadi agresif atau terlalu aktif.


Menerangkan lebih lanjut, Dr. Zasmani berkata, anak-kanak autisme biasanya tidak mempunyai fikiran abstrak dan tidak pandai berimaginasi, lantas mereka tidak boleh mengagak fikiran orang lain menerusi gerak badan seseorang


“Mereka mungkin tidak faham sama ada kita marah ataupun tidak dengan hanya memerhatikan mimik muka kerana tidak boleh membaca perasaan orang lain seperti kanak-kanak normal,” katanya.


Disebabkan kanak-kanak autisme juga kurang daya imaginasi semasa bermain, mereka lebih gemar bermain sendirian.


Cara mereka bermain juga agak ganjil suka memutar sesuatu objek, gemar mengatur atau menyusun sesuatu benda seperti permainan dan buku.


“Sesetengah kanak-kanak autisme akan meronta-ronta atau menangis dengan kuat apabila kehendaknya tidak dituruti dan keadaan inilah yang membuatkan sesetengah ibu bapa tidak mahu membawa mereka keluar berjalan-jalan,” katanya.


Namun masih ada harapan untuk memulihkan mereka dengan komitmen padu daripada seluruh keluarga dan guru-guru yang terlibat secara langsung.


“Terapi berterusan seperti yang dilakukan di pusat-pusat khas untuk kanak-kanak autisme seperti yang dilakukan di Tadika CitaCita di Kota Kinabalu, Sabah ini membolehkan kanak-kanak ini dipulihkan daripada masalah tersebut, kata Dr. Jasmani.


Bagaimanapun ia memerlukan komitmen daripada semua pihak.


“Perlu diingat lebih awal kanak-kanak tersebut dikesan dan dihantar untuk terapi, lebih besar kemungkinan untuk mereka pulih,” tegas beliau.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa sekiranya anak belum boleh bercakap di usia dua tahun atau tidak menunjukkan perkembangan seperti kanak-kanak lain walaupun pada usia yang lebih muda, mereka bolehlah membawa anak untuk pemeriksaan lanjut.


Sebelum ditentukan terapi bagaimana yang bersesuaian, mereka akan melalui beberapa peringkat ujian termasuk ujian pendengaran.


Jika terdapat beberapa gejala autisme dan ujian lain menunjukkan kanak-kanak tersebut menghadapi masalah tersebut, ibu bapa akan dinasihatkan untuk melakukan beberapa terapi di rumah.


Katanya, program latihan awal amat penting untuk kanak- kanak autisme dan sekiranya mereka dapat berkomunikasi di awal usia, masalah tingkah laku boleh dikurangkan atau dibentuk.


Tumpuan khusus amat penting bagi memastikan mereka benar-benar boleh berkembang dengan baik dan dapat bergaul secara sedikit demi sedikit dengan rakan- rakan.

1 comment:

Unknown said...

Asalamualaikum encik/puan, saya intan sofea, pelajar komunikasi dan pengajian media semester 5 di Uitm Lendu, Melaka. Saya dan rakan sekumpulan saya sedang menjalankan kajian tentang " public perception of autism on internet" . Jadi, kami memerlukan 5 orang ibubapa yang mempunyai anak autism untuk ditemu bual bagi kajian kami. Oleh itu, bolehkah kami menemu ramah encik dan pihak keluarga bagi kajian kami ini? kami memohon kerjasama dari pihak encik dan keluarga . terima kasih kami ucapkan kepada encik dan pihak keluarga. maaf kerana menganggu puan/ encik.