Sunday, April 29, 2007

Demam dan Daun Sireh…




Alhamdulillah… Ujian yang Allah beri tak lama sekadar beberapa hari cuma. Saya bersyukur sesangat apabila Muhib dah beransur stabil. Hari ni pun dia dah memulakan aktivitinya seperti biasa ; menyelerakkan permainan, berucap dalam bahasa dia dan juga mengadap buku-bukunya.

Sehari sebelum suhunya naik tinggi Muhib mengambil dan meletakkan termometer di dahinya sendiri, rupa-rupanya itu petunjuk bagi saya. Kesian melihat si anak sedemikian, saya meletakkan cool fever dan sentiasa memastikan suhu badannya tidak naik. Ubat pun saya beri..


Pesan mak saya sejak dari dulu, jangan sesekali remehkan demam si kecil. Pelbagai penyakit
yang ringan ataupun yang bahaya bermula dengan gejala naiknya suhu badan. Pada kanak-kanak, suhu badan adalah antara 36-37C . Kalau lebih tu kira panaslah tu…


Setiap kali cucunya demam, mak saya pasti akan buat sesuatu , dalam bahasa Kelantan orang sebut ‘bomoh’ (tasydid di huruf b) dengan menggunakan daun sireh, kunyit dan sedikit kapur. 3 bahan ni di hancurkan dalam sedikit air. Kemudian lumur pada seluruh badan. Kita berusaha dengan harapan ramuan ini menjadi asbab untuk sembuh dan Dia yang berhak menyembuhkan bukan manusia.


Saya tidak pasti apa kandungan khasiat bahan-bahan tersebut tapi yang nyata terdapat kebenaran bahawa ia dapat menyejukkan badan yang panas. Selain cucu-cucunya, ramai juga yang bawa anak yang tak henti menangis datang ke rumah untuk ‘bomoh’ (tasydid di huruf b). Alhamdulillah…. Berkesan.


Hmm, kalau ada sesiapa yang expert dalam bidang kajian saintifik. Cubalah selongkar apa khasiatnya yang sebenar. Saya rasa banyak khasiat lain yang saya sendiri kurang arif.. patutlah ada pantun tentang daun sireh ni…




“ Sireh junjung si pinang tua,

Dibawa Baba dan juga Nyonya,

Acara Sireh Pinang mengongsi petua,

Warisan berzaman, kaya manfaatnya! ”

No comments: