Sunday, February 8, 2009

Anis hanya seorang



sebuah cerpen .. sebuah memori..


Anis Hanya Seorang

Perasaannya berkecamuk. Bagaikan kering air mata menangisi berita yang disampaikan oleh Doktor Abdullah. Alangkah remuknya hati seorang isteri yang ingin menghadiahkan cenderamata yang cukup berharga buat seorang suami yang tercinta. Dia menangis teresak-esak. Basah lenjun bantal di bilik tidurnya menjadi mangsa. Namun, apa lagi yang mampu dilakukan Anis selain menangis. Ya, takdir adalah satu hakikat yang perlu diterima, namun jiwanya diakui terlalu lemah untuk menerima ujian ini.


"Ya Allah, tabahkan hati ini…" Anis merayu di dalam tangis. Hanya kepada Allah mampu dipanjatkan doa agar dirinya ditabahkan dalam menghadapai ujian ini. Anis sama sekali tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan suaminya nanti apabila mendengar berita ini.


"Anis, kenapa ni…? Abang rasa dari tadi kan Anis menangis..?" Muhammad yang baru saja pulang dari kerja cuba bersuara dengan lembut memujuk isterinya yang sudah dilanda banjir.


"Abang…. tadi Doktor Abdullah telefon. Dia nak cakap dengan abang… Tapi bila Anis bagitau abang tak ada, dia sampaikan satu berita.."


"Berita? Berita apa ye..?"


"Abang….." Anis di dalam sedu cuba mencari kekuatan untuk mengungkap khabar.


"Doktor Abdullah mengesahkan, hasil pemeriksaan kita baru-baru ini, kita tidak akan mendapat anak. Anis tak mampu mengandung bang…..!!" Anis menggagahkan dirinya bersuara sekalipun diiringi tangis yang semakin kuat.


"Innalillahi wainna ilaihirajiun…." Muhammad mengeluh panjang. Menutup muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Anis pasti suaminya turut menangis..

***********


Rumahtangganya cukup bahagia. Malah tiada siapapun yang dapat menafikan kebahagiaan rumahtangga mereka. Seorang jejaka yang sudah lama menaruh hati kepada gadis idamannya yang rupa-rupanya dalam diam turut menyimpan kasih yang terpendam. Anis, satu nama yang cukup gah di kampus pengajian mereka satu masa dulu. Menjadi idaman bukan seorang di kalangan pemuda-pemuda yang terlibat dengan gerakan di kampus. Tiada siapa menduga di dalam diam, hubungannya terbina dengan cukup indah dan terjaga dengan seorang seniornya, Muhammad. Walaupun berbeza negeri kelahiran dan jarak umur yang agak jauh memisahkan mereka, namun takdir Allah SWT mempertautkan antara dua hati, Muhammad dan Anis.


Masih terbayang jelas di ruang fikiran Anis, episod demi episod di dalam hubungan kasihnya dengan Muhammad, insan yang kini bergelar suami. Tanpa sebarang dating dan hubungan terlarang antara dirinya dengan Muhammad, mereka dijodohkan setelah mendapat persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga. Rupa-rupanya, Muhammad melakukan langkah yang lebih ke hadapan apabila bertindak nekad menghantar rombongan peminangan ke rumahnya.


Mereka dijodohkan dengan begitu ringkas. Tanpa majlis perkahwinan yang memakan belanja yang besar dan tanpa diiringi paluan kompang yang menggamatkan seluruh kampung, mereka akhirnya bergelar suami isteri yang sah. Saat-saat manis bermula di dalam kehidupan bagaikana bunga-bunga yang kembang mekar disirami titisan-titisan hujan. Keharuman melebar ke segenap ruang pelusuk taman.


Anis akui, suaminya cukup baik. Perkongsian hidup dengan Muhammad baginya adalah satu pengalaman yang cukup indah. Tidak sesekali Muhammad meninggikan suara biar betapa letih menguasai dirinya. Bahkan, cukup bahagia dirinya sebagai seorang isteri dilayan dan dibelai oleh suami sebaik Muhammad. Anis akui, bagaikan tiada suami yang lebih baik dari Muhammad.


Namun, dugaan Allah pasti akan menimpa sesiapa sahaja di kalangan hambaNya. Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, hidup yang mana tidak dilanda ujian. Sepanjang 5 tahun perkongsian hidup dengan Muhammad, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Anis sering melirik cemburu apabila melihat anak-anak kecil bermain riang di hadapan rumah. Apatah lagi apabila mendengar tangisan bayi, bagaikan tertarik-tarik naluri keibuan di dalam dirinya untuk turut sama mempunyai cahaya mata. Namun, Muhammad sering kali bijak memujuk emosinya, "Kalau dapat anak, kita tak mungkin dapat berpimping tangan lagi…."


Anis sering tersenyum apabila mendengar gurauan Muhammad sekalipun hati kecilnya begitu yakin bahawa Muhammad seperti dirinya, begitu merindukan kehadiran seorang cahaya mata. Hinggalah akhirnya, dia mencadangkan agar mereka bertemu doktor….

***********


"Anis sudah yakinkah dengan keputusan ini..?" Muhammad meminta kepastian dari isterinya.


"Anis yakin bang… Anis sudah istikharah.. Anis yakin, inilah pengorbanan Anis untuk abang.."


"Anis, abang tidak perlukan satu lagi sayap.. Cukuplah Anis menjadi sayap kiri abang dalam perjuangan.."


"Abang… tapi abang perlukan zuriat. Anis tak mampu nak berikan abang zuriat…" Lemah suara Anis sambil menahan perasaan. Tanpa disedari manik-manik halus mula berkumpul di kolam matanya menanti masa untuk ditumpahkan.


"Anis…." Muhammad menggenggam erat tangan isterinya.


"Abang bukan seperti lelaki yang lain. Cukuplah seorang isteri buat abang melayari hidup ini. Abang kasihkan Anis, dan selamanya kasih ini tidak akan berubah. Ingatkah dulu.. kita pernah berjanji, kasih kita tidak akan terlerai, selama-lamanya, kan? Anis masih ingat?"


Anis terdiam. Ruang fikirannya memutar semula satu demi satu episod manis yang menemukan dirinya dengan Muhammad. Ya, mereka pernah berjanji… hidup bersama dengan kasih dan cinta yang dibina hinggalah tiba ketentuan Allah. Mereka juga pernah berjanji, akan menjaga keutuhan mahligai yang dibina agar kekal bahagia… bahagia hingga ke anak cucu. Sekali lagi Anis sebak apabila mengenangkan gurauan Muhammad yang mahukan anak yang ramai..


"Abang……" Anis mencari kekuatan yang sering kali hilang sejak akhir-akhir ini.


"Abang, Anis tahu abang kasihkan Anis. Namun, abang juga perlukan zuriat. Kahwinilah dia bang… Anis kenal dia. Malah bagi Anis, itulah yang terbaik yang mampu Anis persembahkan buat abang…"


"Kalau abang ternyata tidak mampu berlaku adil, bagaimana? Anis bersedia untuk menerima? Anis…. persoalan ini berat.. terlalu berat buat abang.."


"Tidak abang… Anis yakin dan kenal siapa abang… Abang, Anis rela berkorban, untuk kebahagiaan abang…" Semakin hebat tangisan Anis mengiringi pengakuannya. Muhammad mengerti, bukan mudah untuk seorang isteri melalukan pengorbanan seperti Anis.


***********

Langit yang mendung malam itu bagaikan mengerti bagaimana perasaan seorang isteri yang ditinggalkan keseorangan. Anis membelek perlahan album kenangan sewaktu bermulanya kenangan indah bersama Muhammad. Kadang-kadang tersenyum bila mengingati bagaimana kemanisan cinta mereka bermula yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Malam itu, cukup sejuk diiringi dengan hembusan angin yang seolah-olah mengundang turunnya hujan yang lebat dari langit. Namun, gundah di hati Anis lebih hebat dari itu..


Malam itu, dalam satu majlis yang serba ringkas Muhammad dijadualkan akan diijabkabulkan dengan Zulaikha, insan yang akan menjadi madu Anis. Petang tadi, Anis sudah mempersiapkan Muhammad untuk menjadi bakal pengantin. Saumniya turun dari rumah dengan langkah yang berat. Anis tahu, hati Muhammad masih berbelah bahagi.


Zulaikha, bekas junior Anis semasa di kampus dicadangkan Anis sendiri untuk diperisterikan oleh suaminya. Insan yang bakal berkongsi kasih sayang dengannya sepanjang hayat. Anis kenal siapa Zulaikha dan cukup menyenanginya. Cuma, kadang-kadang Anis termanggu sendirian, betulkah apa yang dia lakukan? Dan mampukah dia menghadapi hidup ini kelak? Biarpun sesekali penyesalan bertandang, namun Anis yakin, itulah pengorbanan yang paling agung yang dapat dilakukan olehnya seorang isteri. Dan sekali lagi, Anis merasakan, manik-manis halus terasa suam menuruni pipinya. Anis cukup pasti, waktu ini tentu suaminya sudah lena di dalam kehangatan layanan isteri barunya. Namun, biarlah dia pula menikmati kelazatan bermunajat kepada tuhannya.


Bagaimanapun, langkah Anis terhenti seketika. Ada seseorang cuba membuka pintu pagar dan memasuki halaman rumahnya.


"..Abang..!!" Anis terkejut kepulangan serta merta suaminya di waktu yang tidak sepatutnya. Lantas spontan dia tunduk mencium tangan suaminya, namun kali ini tidak seperti biasa, Muhammad tidak ingin melepaskan tangannya.


"Anis…..!!"


"Abang berbincang panjang dengan Zulaikha dan ayahnya. Abang tidak akan berkahwin lain… Anis, dalam hidup abang, Anis hanya seorang…!!" Serentak dengan itu, Anis teresak-esak di dada suaminya.


Ahmad Fadhli bin Shaari

11 Januari 2004





2 comments:

Areniece said...

Cerita ni hampir membuatkan saya menitis air mata dan juga tersenyum di akhir cerita...

Areniece said...

Cerita ni hampir membuatkan saya menitis air mata dan juga tersenyum di akhir cerita...