Sunday, May 3, 2009

Autism Spectrum Disorder

MASALAH PEMBELAJARAN AUTISME (AUTISM SPECTRUM DISORDER)

DEFINISI


Autisme didefinasikan sebagai kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri atau menurut Leo Kanner (1943) sebagai individu yang tidak berkeupayaan menyesuaikan diri mereka secara normal dengan persekitaran. Menurut kajian Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menjelaskan maksud Autisme seperti berikut:


“Autisme adalah satu kekurangan seumur hidup dan menampakkan kesannya dalam masa 30 bulan yang pertama seseorang bayi. Komunikasi antara mereka adalah terbantut dan mereka tidak dapat berhubung dengan secara langsung. Mereka juga mempunyai masalah tingkah laku. Individu autisme mempunyai kelebihan intelek yang luas. Kerap kali mereka menunjukkan kelebihan dalam bidang matematik atau kemahiran makenikal ataupun dalam seni muzik, ‘rote memory’ dan lain-lain”.


FAKTOR-FAKTOR AUTISME


Dari segi genetik, adik-adik kepada individu autistik lebih berisiko mengalami autisme berbanding orang lain, terutama bagi pasangan kembar seiras. Selain itu, autisme juga sering dikaitkan dengan kecelaruan genetik dan masalah yang berkaitan dengan perubatan seperti Fergile X syndrome, Tuberous Sclerosis dan Phenylketonuria (PKU).


Masalah sebelum dan selepas kelahiran juga boleh menyebabkan autisme. Diantaranya adalah seperti jangkitan rubella semasa dalam kandungan ibu, encephalitis, kekurangan oksigen semasa lahir, keracunan makanan dan bengkak cantik (mumps). Susunan kedudukan adik beradik juga boleh menyumbang kepada masalah autisme, iaitu anak sulung dalam keluarga yang mempunyai dua anak, anak yang keempat atau yang berikutnya bagi keluarga yang mempunyai empat atau lebih (Gargiulo, 2003).


Berkaitan dengan fungsi otak, terdapat bukti yang kukuh bahawa ketidakfungsian cereblum, limbic system dan kemungkinan juga temporal lobe dan cortex terjadi kepada individu autisme.


Kewujudan autisme juga dikaitkan dengan faktor kecelaruan autoimmune dan juga persekitaran. Dalam sesetengah keluarga yang mempunyai anak autisme, ketidakfungsian pelalian (immune dysfunstion) akan berkait dengan beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan autisme. Terutamanya alahan kepada makanan seperti susu dan gandum yang tidak dapat dicernakan dengan baik. Terdapat lebih dari 60% kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicerna dengan baik dan menyebabkan protien daripada makanan ini tidak bertukar menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang memlalui kencing. Bagi kanak-kanak autistik, pepton ini diserap kembali oleh tubuh, memasuki aliran darah, terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfin dan gliadrofin yang merosakkan sel-sel otak dan menyebabkan fungsi otak terganggu. Fungsi otak yang terganggu adalah yang melibatkan fungsi kognitif, komunikasi reseptif, tumpuan perhatian dan tingkah laku (Jamila K.A. Mohamed, 2005


CIRI-CIRI AUTISME


Jamila K.A. Mohamed (2005), telah menggabungkan kesemua ciri kanak-kanak autisme dan dibahagikan kepada enam bidang iaitu:


i. Komunikasi

Kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri komunikasi seperti berikut:

• Perkembangan bahasa lambat ataupun tiada langsung.

• Kelihatan seperti bermasalah pendengaran dan tidak

mengendahkan apa yang dikatakan oleh orang lain.

• Jarang menggunakan bahasa.

• Sukar diajak bercakap.

• Kadang kala dapat menuturkan sesuatu tetapi buat seketika sahaja.

• Perkataan atau jawapan yang dituturkan tidak sesuai dengan pertanyaan.

• Mengeluarkan bahasa yang tidak difahami.

• Meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa mengerti maksudnya.

• Suka menarik tangan orang lain apabila meminta sesuatu.



ii. Interaksi Sosial

Interaksi sosial kanak-kanak autisme dapat digolongkan sebagai sangat sukar dan ekstrem:

• Suka bersendirian.

• Tiada perhubungan mata (eye contact) dan sentiasa mengelak daripada

memandang orang lain.

• Tidak gemar bermain dengan rakan dan sering menolak ajakan rakan.

• Suka menjauhkan diri dan duduk di suatu sudut.



iii. Gangguan Deria

Diantara ciri-ciri gangguan deria kanak-kanak autisme adalah:

• Sensitif pada sentuhan.

• Tidak suka dipegang ataupun dipeluk.

• Sensitif dengan bunyi yang kuat dan menutup telinga.

• Suka mencium dan menjilat mainan atau benda lain.



iv. Pola Bermain

Pola bermain kanak-kanak autisme ditunjukkan seperti berikut:

• Tidak suka bermain seperti rakan-rakan sebayanya.

• Tidak bermain mengikut cara biasa, dan suka memutar-mutar ataupun

melambung-lambung dan menyambut mainan atau apa saja yang

dipegangnya.

• Suka dengan objek-objek yang berputar seperti kipas angin.

• Apabila menyukai sesuatu benda, terus dipegang dan dibawa ke mana

sahaja.



v. Tingkah Laku

Tingkah laku kanak-kanak autisme adalah seperti berikut:

• Sama ada hiperaktif ataupun hippoaktif.

• Melakukan perbuatan ataupun gerakan yang sama dan berulang-ulang

seperti bergoyang-goyang, mengepak-ngepak tangan dan menepuk-

nepuk tangan, berlari atau berjalan mundar mandir.

• Tidak suka pada perubahan (daripada apa yang sedang dilakukannya).

• Dapat duduk dengan lama tanpa berbuat apa-apa dan tanpa sebarang

reaksi.



vi. Emosi

Emosi kanak-kanak autisme sangat sukar diramal dan berubah-rubah. Diantaranya ialah:

• Sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab, mengamuk tanpa

terkawal jika tidak dituruti kemahuannya atau dilarang daripada

melakukan sesuatu yang diingininya.

• Merosakkan apa saja yang ada disekitarnya jika emosinya terganggu.

• Menyerang sesiapa sahaja berhampirannya jika emosinya terganggu.

• Adakalanya mencederakan dirinya sendiri.

• Tiada rasa simpati dan tidak memahami perasaan orang lain.



PERKHIDMATAN INTERVENSI UNTUK KANAK-KANAK AUTISME


Proses intervensi bagi kanak-kanak autistik bermula sebaik saja masalah ini dikesan. Tumpuan intervensi pada peringkat pemulaan tertumpu kepada rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku. Rawatan perubatan yang luas digunakan untuk kanak-kanak autistik adalah penggunaan ubatan Ritalin untuk merawat masalah kurang tumpuan dan hiperaktif. Selain itu, pengambilan vitamin B6 bersama magnesium juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tumpuan perhatian kanak-kanak autistik.


Pengurusan tingkah laku merangkumi pelbagai strategi dan teknik yang digunakan untuk menambah atau mengekalkan tingkah laku sasaran (positif) dan mengurang atau menghapus tingkah laku sesuai. Diantara teknik yang digunakan adalah seperti pengasingan, kejelakan, time-out, shaping, memberi ganjaran dan sebagainya. Perkhidmatan interventif awal sangat penting bagi kanak-kanak autistik untuk membantu mengurangkan masalah autistik yang mereka alami. Selain rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku, perkhidmatan intervensi awal termasuklah pendidikan terancang.


Kanak–kanak autisme boleh dididik melalui program pendidikan yang bersepadu dan terancang. Keunikan corak pembelajaran mereka adalah disebabkan kepelbagaian atau kerencaman masalah lain yang berkait dengan masalah autisme itu sendiri seperti masalah tingkah laku, emosi, komunikasi, sosial, dan kognitif. Kanak-kanak ini diajar oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas. Bagi mencapai objektif pembelajaran kanak-kanak autisme ini, semua pihak yang terlibat terutamanya guru-guru hendaklah mempunyai kerjasama yang erat dengan ibubapa murid. Matlamat utama adalah supaya kemahiran dan pendekatan yang diajar di sekolah diteruskan dan diaplikasikan oleh ibubapa di rumah terutamanya dalam aspek pengurusan tingkah laku. Dalam kebanyakkan kes, kanak-kanak yang sudah biasa dengan tingkah laku tertentu yang kurang sesuai mendapati sukar untuk mengubah atau menghentikan tingkah laku tersebut apabila berada di sekolah. Usaha guru untuk mengubah tingkah laku itu tidak akan berjaya sekiranya tidak ada kesinambungan usaha tersebut di rumah oleh ibubapa.


Kanak-kanak autisme yang menunjukkan prestasi yang baik di dalam kelasnya diberi peluang untuk meningkatkan lagi keupayaannya melalui program Pendidikan Inklusif. Pelajar ini akan ditempatkan di Kelas Aliran Perdana untuk belajar bersama-sama dengan rakan sebaya lain yang normal. Pada peringkat awal, kanak-kanak ini akan ditemani oleh guru pembimbing. Guru pembimbing akan membantu dan memantau kanak-kanak ini belajar. Kurikulum untuk kanak-kanak autisme adalah sama seperti kanak-kanak berkepeluan khas yang lain juga.


Apabila kanak-kanak ini ditempatkan di dalam kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran), mereka akan belajar mengikut Kurikulum Pendidikan Khas yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Khas. Guru akan menyampaikan pelajarannya mengikut tahap keupayaan murid dan tidak begitu terikat dengan sukatan pelajaran.


RUJUKAN


Jamila K.A. Mohamed (2006). Pendidikan Khas untuk Kanak-kanak Istimewa.


Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Kemementerian Pendidikan Malaysia (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas : Kuala Lumpur.


Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia, (2000). Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Menengah.


Modul Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran : Open University Malaysia.

Saturday, May 2, 2009

Update On Mujib 2

Adik main...
Abi ngan abe mana??

Mujib dan Fatimah sedang bermain bersama..

takde barang dalam troli tu, yang ada anak-anakanda.. :-)

Mujib kena tanam.. takut jer nampaknya dia

Sekadar rumah..

Assalamulaikum warahmatullah...

lama saya tak online. sibuk dengan tugasan harian, kelas tambahan, dengan terapi Muhib, (si Mujib takpe jer dia , mudah nak urus dia ) dan urusan pindah rumah.. pindah nyer dah lama, siap ada wayerles lagi kat umah. internet unlimited.. (tp tak sempat jugak nak pegang keyboard). Hmm.. baru jer naik dalam bulan rabiul awwal yang lalu. rumah pun tak berapa nak beres.. boleh la buat apa saja umah ni.. nak deko ker nak apa ker.. sebab umah sendiri :-) alhamdulillah.

Mujib posting.. :-)

Abi baru balik kerje..

rumah yang tak berapa ada eksesori .. langsir pun tak siap lagik :-)

Perabot yang mesra kanak-kanak ..hehe

ambik satu section jer.. sebab seksen lain "tak beres ngemas" hehe

Jemput datang umah kekawan.. :-)

Santapan rohani ...

Abi bagi kuliah.. Muhib dan Mujib suka dengar:-


Monday, February 16, 2009

Jadilah parent terbaik- dedikasi buat parent yg ada anak autisme



Bismillah dan assalamualaikum warahmatullah..

Mungkin disebabkan penat belajar pagi tadi di nasom, Muhib lena jer.. lama dia tidur tengahhari tadi.. (moga2 malam ni pun dia tidur awal dan lena). Muhib sekarang tidak lagi berada di nursery iQ anakku tetapi kami tinggalkan dia di pusat autisme USM-NASOM yang baru bermula pada hari ini. bermula jam 8pagi hingga jam 12 tengahhari.

Balik USM... Saya tinggalkan Muhib seketika tengah hari tadi kerana di sekolah ada latihan dan saringan sukan.


Mempunyai anak autisme memang agak memenatkan dan memaksa kita untuk lebih "kuat" sebab segala pengurusan dirinya perlu kita jaga dan uruskan. Kebiasaan anak autisme ini sukar utk tidur malam, sukar untuk makan, sukar untuk bergaul dengan orang lain, apatah lagi mereka ini sukar untuk bertutur!.

Muhib kebiasaannya pada setiap malam, tidurnya akan terganggu.. dan menagis dengan kuat pada pukul 2 atau 3 pagi. itulah rutin tidur malamnya. untuk tidak mengganggu tidur jiran lain, abinya akan membawanya menaiki kereta, akhirnya dia tidur berbilikkan dalam kereta dan berkatilkan kusyen kereta.


Dari aspek pemakanan pula, Muhib cerewet terhadap semua jenis makanan kecuali kuih kapit dan kacang pistacio. Kalau saya mengambil masa 30 minit untuk memasak lauk pauk, bila dah sudah, dalam masa 2 minit jer dia terus berlari kerana tak mahu makan. tak berbaloi saya memasak.. kekadang saya paksa jugak dia makan, tp nampak tensen dia.. kesian pulak.

Berat untuk berkata2 tapi berat lagi bahu yang memikul. Untuk parent yang ada anak autisme janganlah berputus asa.. insyaallah, Allah takkan uji kita kalau kita sendiri tak mampu utk pikulnya, kita sesama berkongsi.. cubalah:

1. Lihat anak dari aspek kelebihan jangan lihat anak dari aspek kekurangan.
Khamis lalu, Muhib dah pandai tadah kedua belah tangan dan mengaminkan, sambil menyebut amin... itulah detik bahagia buat saya sebagai ibu.. sebab muhib dah boleh tahu konsep tersebut. Dia juga terlalu obses pada kain telekung labuh saya. kalau saya balik kerja,dia akan pegang dan peluk serta seret ke merata-rata tempat kain tudung saya itu. walaupun agak tidak normal pelakuannya, saya akan anggap itu sebagai satu kelebihan dia.

2. Jangan jemu dan malu mencari maklumat.
Anak sebegini Allah kurniakan pada kita, jangan jemu untuk kita mencari maklumat serta informasi baru. Biasanya saya dapat maklumat melalui terapis dan web site. banyak dalam tenet.

3. Memilih terapi dan mencari penawar utk anak.
walaupun kajian mengatakan bahawa tiada ubat utk autisme, perlu kita membawanya menjalani terapi di hospital atau private punya terapi, terutamanya occupation terapi dan speech therapy. Bebaru ni, kami bawa Muhib bertemu dengan Dato' Doktor Harun Din.. lepas ni ingin bawa mengurut refleks... dulu makan ubat homopati.. utk cucuk akupuncur saya tak berani nak bawa dia.. stemcell pun saya tak berani..

4. Berkongsi dengan parent yang ada anak autisme yang lain.
Melalui perkongsian cerita, pengalaman, tempat berubat dan kaedah terapi anak autisme lain ianya sungguh bermakna dan berharga buat saya. ini kerana hanya ibu bapa yang mempunyai anak sebegini sahaja yang faham perasaan dan pemikiran kita. melaluinya, saya dapat ramai sahabat baru yang boleh kami syer... tambahan pula, parent support usm baru ditubuhkan.. baguslah.

5. Peranan keluarga yang sangat besar.
masa bersama keluarga adalah masa yg paling penting utk anak ini berinteraksi dgn ahli keluarga. sama ada keluarga kecil atau keluagra besar. ahli keluarga kena faham dan beri galakkan utk anak istimewa ini. tok, nenek, mak saudara,pak sedara, adik beradik pesakit autisme memerlukan anda..

6.Janganlah memukul anak.
Tipu kalau saya kata, saya tak pernah pukul Muhib.. pernah... time saya panggil dia buat tak tahu. time dia mengamuk tak tahu kenapa.. time dia menjerit yang saya dah habis cara utk memujuknya.. tp makin kuat dia menangis.. masa tu, hilang dah sabar.. terus jer naik tangan,walaupun niat hanya utk mendisiplin dan mendidiknya.. tapi lepas tu, saya akan menyesal atas kekasaran saya. menangis sendiri!!

7. Ajaklah dia belajar bersosial.
Mujib suka panggil abangnya Muhib dgn panggilan- abee.., Mujib baru berusia 19 bulan tapi dah tahu buat ayat guna 2-3 patah perkataan. selalu dia panggil Muhib utk ajak bermain atau makan. saya akan galakkan mereka bertepuk bersama.. bermain bola besar bersama.. dan sebagainya. dengan sepupunya pun Muhib agak kurang bersosial memandangkan ramai daripadanya adalah lebih besar darinya. cuma ada 3 orang daripada berbelas-belas orang sepupu dia yang leih kurang seusia dengan muhib. jadi, saya selalu cipta permainan kalau mereka bersama. biasanya Muhib akan mengalah macam tu jer... takpelah,yg penting kita ciptakan suasana permainan bersama.

8. Janganlah terlalu membandingkan keadaan anak kita dengan anak yang normal.
biasalah mak ayah mana tak mahu anak dia hidup normal. tapi bila Allah dah uji begini, kenalah juga kita faham.. anak autisme tak sama dengan anak normal yang lain. jadi kita jangan lah sedih sangat bila tengok anak kita kurang berbanding budak lain. kenalah bawa bersabar selalu. dibimbangi kalau kita selalu membandingkan dangan anak normal, kita jadi patah semangat nak terapi anak autisme ni.

tetapi apa yg saya nak syer di sini, ada jugak orang yang selalu membangga-banggakan anak diorang di depan saya di tempat kerja walhal dah tahu saya mempunyai anak autisme.. saya faham mereka sememangnya tidak bermaksud apa-apa.. sekadar bercerita.. bahkan saya benar-benar tumpang gembira atas perkembangan anak-anak mereka. tetapi saya terasa hati apabila ada yang tergamak berkata dengan sengaja di dalam perbualan kami ramai-ramai : "anak yani jauh beza (ketinggalan jauh) berbanding dengan anak dia". Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya tika itu.


9. Menerima anak dengan segala kekurangan dan kelebihannya.
Terimalah seadanya anak kita.. ingatlah, Allah takkan uji kita jika kita tidak mampu memikulnya. hari ini kita susah insyaallah, Allah balasnya dengan pahala dan kesenangan di masa hadapan. insyaAllah.. jadilah parent terbaik utk anak autimse anda... mereka sungguh istimewa!

Thursday, February 12, 2009

Say No & Never To Celebrate Valentine's Day

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai di kalangan masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi.


Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama “Valentine’s Special”. Di samping itu, jika kita tinjau persiapan yang dilakukan oleh golongan yang meraikannya, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.


Namun, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasangpasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.


Sejarah Permulaan Valentine’s Day


Kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini, hanya mengikut apa sahaja yang datang dari barat tanpa mahu mempersoalkan sama ada Valentine’s Day wajar disambut ataupun tidak. Sebenarnya, Valentine’s Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian. Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day :

  1. Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

  1. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana mpertelingkahannya dengan Raja mRomawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M).

  1. Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan mpertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St.Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dandiheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai symbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

  1. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi myang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.


HUKUM ORANG ISLAM MENYAMBUT PERAYAAN VALENTINE’S

budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat.


Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa :

“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur

dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.


Hujjah dan Dalil

Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;

Bermaksud:


“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)


Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini

berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:


“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Kesimpulan


Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat.


Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.


di petik dari Buletin at-taqwa bil 9 jabatan mufti negeri selangor

Sunday, February 8, 2009

Anis hanya seorang



sebuah cerpen .. sebuah memori..


Anis Hanya Seorang

Perasaannya berkecamuk. Bagaikan kering air mata menangisi berita yang disampaikan oleh Doktor Abdullah. Alangkah remuknya hati seorang isteri yang ingin menghadiahkan cenderamata yang cukup berharga buat seorang suami yang tercinta. Dia menangis teresak-esak. Basah lenjun bantal di bilik tidurnya menjadi mangsa. Namun, apa lagi yang mampu dilakukan Anis selain menangis. Ya, takdir adalah satu hakikat yang perlu diterima, namun jiwanya diakui terlalu lemah untuk menerima ujian ini.


"Ya Allah, tabahkan hati ini…" Anis merayu di dalam tangis. Hanya kepada Allah mampu dipanjatkan doa agar dirinya ditabahkan dalam menghadapai ujian ini. Anis sama sekali tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan suaminya nanti apabila mendengar berita ini.


"Anis, kenapa ni…? Abang rasa dari tadi kan Anis menangis..?" Muhammad yang baru saja pulang dari kerja cuba bersuara dengan lembut memujuk isterinya yang sudah dilanda banjir.


"Abang…. tadi Doktor Abdullah telefon. Dia nak cakap dengan abang… Tapi bila Anis bagitau abang tak ada, dia sampaikan satu berita.."


"Berita? Berita apa ye..?"


"Abang….." Anis di dalam sedu cuba mencari kekuatan untuk mengungkap khabar.


"Doktor Abdullah mengesahkan, hasil pemeriksaan kita baru-baru ini, kita tidak akan mendapat anak. Anis tak mampu mengandung bang…..!!" Anis menggagahkan dirinya bersuara sekalipun diiringi tangis yang semakin kuat.


"Innalillahi wainna ilaihirajiun…." Muhammad mengeluh panjang. Menutup muka dengan kedua-dua tapak tangannya. Anis pasti suaminya turut menangis..

***********


Rumahtangganya cukup bahagia. Malah tiada siapapun yang dapat menafikan kebahagiaan rumahtangga mereka. Seorang jejaka yang sudah lama menaruh hati kepada gadis idamannya yang rupa-rupanya dalam diam turut menyimpan kasih yang terpendam. Anis, satu nama yang cukup gah di kampus pengajian mereka satu masa dulu. Menjadi idaman bukan seorang di kalangan pemuda-pemuda yang terlibat dengan gerakan di kampus. Tiada siapa menduga di dalam diam, hubungannya terbina dengan cukup indah dan terjaga dengan seorang seniornya, Muhammad. Walaupun berbeza negeri kelahiran dan jarak umur yang agak jauh memisahkan mereka, namun takdir Allah SWT mempertautkan antara dua hati, Muhammad dan Anis.


Masih terbayang jelas di ruang fikiran Anis, episod demi episod di dalam hubungan kasihnya dengan Muhammad, insan yang kini bergelar suami. Tanpa sebarang dating dan hubungan terlarang antara dirinya dengan Muhammad, mereka dijodohkan setelah mendapat persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga. Rupa-rupanya, Muhammad melakukan langkah yang lebih ke hadapan apabila bertindak nekad menghantar rombongan peminangan ke rumahnya.


Mereka dijodohkan dengan begitu ringkas. Tanpa majlis perkahwinan yang memakan belanja yang besar dan tanpa diiringi paluan kompang yang menggamatkan seluruh kampung, mereka akhirnya bergelar suami isteri yang sah. Saat-saat manis bermula di dalam kehidupan bagaikana bunga-bunga yang kembang mekar disirami titisan-titisan hujan. Keharuman melebar ke segenap ruang pelusuk taman.


Anis akui, suaminya cukup baik. Perkongsian hidup dengan Muhammad baginya adalah satu pengalaman yang cukup indah. Tidak sesekali Muhammad meninggikan suara biar betapa letih menguasai dirinya. Bahkan, cukup bahagia dirinya sebagai seorang isteri dilayan dan dibelai oleh suami sebaik Muhammad. Anis akui, bagaikan tiada suami yang lebih baik dari Muhammad.


Namun, dugaan Allah pasti akan menimpa sesiapa sahaja di kalangan hambaNya. Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, hidup yang mana tidak dilanda ujian. Sepanjang 5 tahun perkongsian hidup dengan Muhammad, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Anis sering melirik cemburu apabila melihat anak-anak kecil bermain riang di hadapan rumah. Apatah lagi apabila mendengar tangisan bayi, bagaikan tertarik-tarik naluri keibuan di dalam dirinya untuk turut sama mempunyai cahaya mata. Namun, Muhammad sering kali bijak memujuk emosinya, "Kalau dapat anak, kita tak mungkin dapat berpimping tangan lagi…."


Anis sering tersenyum apabila mendengar gurauan Muhammad sekalipun hati kecilnya begitu yakin bahawa Muhammad seperti dirinya, begitu merindukan kehadiran seorang cahaya mata. Hinggalah akhirnya, dia mencadangkan agar mereka bertemu doktor….

***********


"Anis sudah yakinkah dengan keputusan ini..?" Muhammad meminta kepastian dari isterinya.


"Anis yakin bang… Anis sudah istikharah.. Anis yakin, inilah pengorbanan Anis untuk abang.."


"Anis, abang tidak perlukan satu lagi sayap.. Cukuplah Anis menjadi sayap kiri abang dalam perjuangan.."


"Abang… tapi abang perlukan zuriat. Anis tak mampu nak berikan abang zuriat…" Lemah suara Anis sambil menahan perasaan. Tanpa disedari manik-manik halus mula berkumpul di kolam matanya menanti masa untuk ditumpahkan.


"Anis…." Muhammad menggenggam erat tangan isterinya.


"Abang bukan seperti lelaki yang lain. Cukuplah seorang isteri buat abang melayari hidup ini. Abang kasihkan Anis, dan selamanya kasih ini tidak akan berubah. Ingatkah dulu.. kita pernah berjanji, kasih kita tidak akan terlerai, selama-lamanya, kan? Anis masih ingat?"


Anis terdiam. Ruang fikirannya memutar semula satu demi satu episod manis yang menemukan dirinya dengan Muhammad. Ya, mereka pernah berjanji… hidup bersama dengan kasih dan cinta yang dibina hinggalah tiba ketentuan Allah. Mereka juga pernah berjanji, akan menjaga keutuhan mahligai yang dibina agar kekal bahagia… bahagia hingga ke anak cucu. Sekali lagi Anis sebak apabila mengenangkan gurauan Muhammad yang mahukan anak yang ramai..


"Abang……" Anis mencari kekuatan yang sering kali hilang sejak akhir-akhir ini.


"Abang, Anis tahu abang kasihkan Anis. Namun, abang juga perlukan zuriat. Kahwinilah dia bang… Anis kenal dia. Malah bagi Anis, itulah yang terbaik yang mampu Anis persembahkan buat abang…"


"Kalau abang ternyata tidak mampu berlaku adil, bagaimana? Anis bersedia untuk menerima? Anis…. persoalan ini berat.. terlalu berat buat abang.."


"Tidak abang… Anis yakin dan kenal siapa abang… Abang, Anis rela berkorban, untuk kebahagiaan abang…" Semakin hebat tangisan Anis mengiringi pengakuannya. Muhammad mengerti, bukan mudah untuk seorang isteri melalukan pengorbanan seperti Anis.


***********

Langit yang mendung malam itu bagaikan mengerti bagaimana perasaan seorang isteri yang ditinggalkan keseorangan. Anis membelek perlahan album kenangan sewaktu bermulanya kenangan indah bersama Muhammad. Kadang-kadang tersenyum bila mengingati bagaimana kemanisan cinta mereka bermula yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Malam itu, cukup sejuk diiringi dengan hembusan angin yang seolah-olah mengundang turunnya hujan yang lebat dari langit. Namun, gundah di hati Anis lebih hebat dari itu..


Malam itu, dalam satu majlis yang serba ringkas Muhammad dijadualkan akan diijabkabulkan dengan Zulaikha, insan yang akan menjadi madu Anis. Petang tadi, Anis sudah mempersiapkan Muhammad untuk menjadi bakal pengantin. Saumniya turun dari rumah dengan langkah yang berat. Anis tahu, hati Muhammad masih berbelah bahagi.


Zulaikha, bekas junior Anis semasa di kampus dicadangkan Anis sendiri untuk diperisterikan oleh suaminya. Insan yang bakal berkongsi kasih sayang dengannya sepanjang hayat. Anis kenal siapa Zulaikha dan cukup menyenanginya. Cuma, kadang-kadang Anis termanggu sendirian, betulkah apa yang dia lakukan? Dan mampukah dia menghadapi hidup ini kelak? Biarpun sesekali penyesalan bertandang, namun Anis yakin, itulah pengorbanan yang paling agung yang dapat dilakukan olehnya seorang isteri. Dan sekali lagi, Anis merasakan, manik-manis halus terasa suam menuruni pipinya. Anis cukup pasti, waktu ini tentu suaminya sudah lena di dalam kehangatan layanan isteri barunya. Namun, biarlah dia pula menikmati kelazatan bermunajat kepada tuhannya.


Bagaimanapun, langkah Anis terhenti seketika. Ada seseorang cuba membuka pintu pagar dan memasuki halaman rumahnya.


"..Abang..!!" Anis terkejut kepulangan serta merta suaminya di waktu yang tidak sepatutnya. Lantas spontan dia tunduk mencium tangan suaminya, namun kali ini tidak seperti biasa, Muhammad tidak ingin melepaskan tangannya.


"Anis…..!!"


"Abang berbincang panjang dengan Zulaikha dan ayahnya. Abang tidak akan berkahwin lain… Anis, dalam hidup abang, Anis hanya seorang…!!" Serentak dengan itu, Anis teresak-esak di dada suaminya.


Ahmad Fadhli bin Shaari

11 Januari 2004





Sunday, December 21, 2008

missed abortion - Dia yg m'jadikan segalanya

Seharian semalam saya banyak berada di luar rumah. menemani ibu saya yang keseorangan di rumah di guchil bayam. kemudian menemani suami saya ke majlis perasmian penutup BABA (bengkel asas bahas arab). kemudian terus ke majlis perkahwinan kakti di pulai chondong, bersama kami juga muhib dan mujib. penat melayan kerenah anak-anak di tempat orang. apalagi utk mengejar muhib yang tak betah duduk diam dan suka menangis. saya seperti biasa, berlari ke sana ke mari..

Dalam perjalanan ke pulai chondong, panik juga apabila saya period sedangkan telah sah pregnant 2 bulan lebih. hari ini saya ke klinik, saya keguguran rupanya... sebentar saja baby ada dalam perut.. Dia yang menjadikan, Dia juga yang mentiadakan...

'missed-abortion' iaitu keguguran yang berlaku secara tiba-tiba. Ia merujuk kepada usia kandungan dari 1 minggu ke 28 minggu secara amnya. Pelbagai sebab yang memungkinkan berlakunya keguguran. seperti ketidak seimbangan hormon atau jangkitan kuman terhadap janin, atau sebagainya.

BILA PERLU BERJUMPA DOKTOR

Pendarahan semasa awal hamil adalah salah satu tanda keguguran. Anda harus berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami pendarahan seperti berikut :

  • Pendarahan yang ringan tetapi berpanjangan sehingga dua minggu
  • Pendarahan yang membasahi satu tuala wanita
  • Pendarahan yang berketul-ketul· Sakit perut berpanjangan
  • Keluar lendir yang berbau dari faraj
  • Demam melebihi 38 darjah C

SELEPAS KEGUGURAN

Haid normal akan kembali seperti biasa selepas 3-6 minggu

· Jangan gunakan tampon

· Jangan douche vagina anda

· Jangan pergi berenang atau berendam dalam sauna panas.

· Jangan membuat hubungan seks sebaik sahaja keguguran

Anda mungkin akan mengalami sakit pada bahagian bawah ari-ari yang sama dengan sakit semasa haid. Ia mungkin akan berpanjangan sehingga 2 hari selepas keguguran. Berjumpalah dengan doktor sekiranya sakit itu berpanjangan.

DILATATION AND CURETTAGE (D+C).

Prosedur ini akan dibuat sekiranya sebahagian tisu dari hasilan kehamilan tertinggal di dalam rahim. Sekira ia tidak dikeluarkan, pendarahan atau jangkitan kuman mungkin akan berlaku. Aktiviti harian boleh diteruskan semula sekiranya anda merasa sihat. Tanya doktor anda untuk sebarang aktiviti yang lebih lasak.


PENDARAHAN SELEPAS KEGUGURAN - NIFAS ATAU TIDAK?

Sekiranya seorang perempuan mengalami keguguran dan pendarahan, perlukah dia mengerjakan solat?

Jawapan kepada persoalan ini bergantung kepada jenis darah tersebut: nifas atau tidak? Para ulamak pernah mengemukakan syarat berkenaan perkara ini: "Jika perempuan itu melihat darah selepas melahirkan sesuatu yang menyerupai rupa bentuk manusia, maka ia adalah nifas, tetapi jika dia melihat darah selepas melahirkan sesuatu yang menyerupai gumpalan darah beku (nutfah atau 'alaq), maka ia bukanlah nifas." (al-Mughni ma'a al-Sharh al-Kabeer, 1/361).

Dalam kes yang kedua, ini dipanggil istihaadah (darah penyakit) dimana perempuan tersebut perlu mengambil wuduk untuk setiap kali solat hanya setelah masuk waktu solat dan kemudian bersolat. Jika apa yang dilahirkan itu ialah janin yang sudah cukup sifatnya atau yang sudah mempunyai sebahagian rupa bentuk anggota badan seperti tangan ataupun kepala ,maka darah itu adalah nifas. Jika perempuan itu mengatakan semasa di hospital mereka telah mengambilnya dan membuangnya dan dia belum sempat melihatnya, maka para ulamak mengatakan bahawa jangkamasa yang paling singkat untuk anggota badan janin terbentuk ialah 81 hari daripada tarikh mula hamil. (Majmoo'at Fataawa al-Shaykh ibn 'Uthaymeen, 4/292).

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh 'Abd-Allaah ibn Mas'ood (r.a) yang menyatakan bahawa Rasulullah (s.a.w), seorang yang sentiasa bercakap benar, bersabda: "Tiap-tiap manusia diolah kejadiannya didalam perut ibunya selama 40 hari kemudian 40 hari lagi menjadi 'alaqah (segumpal darah) kemudian 40 hari lagi menjadi mudghah (segumpal daging) lalu Allah menghantar malaikat untuk meniupkan roh dan disuruh menuliskan 4 perkara untuk hari depan si bayi: a. tentang rezekinya. b. tentang ajalnya. c. amal perbuatannya. d. nasib celaka (dimasukkan ke dalam neraka) atau beruntungnya (dimasukkan kedalam syurga)..." (Lafaz ini diriwayatkan oleh al-Bukhaari, Fath, 6/303).

Mana-mana perempuan yang menghadapi masalah ini harus mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui situasi sebenar mereka.

Berkenaan dengan darah yang keluar waktu hampir-hampir bersalin: jika ia disertai dengan kesakitan semasa bersalin , maka ia adalah darah nifas, jika tidak, ia bukan. Shaykh al-Islam Ibnu Taymiyah (rahimahullah) berkata: "Apa yang perempuan lihat (darah) semasa sakit bersalin bermula itulah nifas. Apa yang dimaksudkan disini ialah kesakitan semasa proses beranak yang disusuli dengan melahirkan anak; jika ini bukan kesnya maka ia bukanlah nifas." (Majmoo' Fataawa Ibnu 'Uthaymeen, 4/327).

Tuesday, December 9, 2008

SaLAm aiDiL AdhA ...


Salam Aidil Adha kepada semua umat Islam, semoga pengorbanan kita di terima di sisi Allah swt. Kepada yang berada di tanah suci, semoga selamat kembali ke tanah air dan mendapat haji yang mabrur...

Sunday, December 7, 2008

9 zulhijjah..


"Puasa hari Arafah iaitu 9 zulhijjah (bersamaan 7 disember 2008) itu menghapuskan dosa 2 tahun, satu tahun yang telah lalu dan satu tahun yang akan datang" - riwayat muslim

Sunday, November 30, 2008

always look at the good things..


Demam, batuk dan selsema boleh kita ubati. Sakit kulit, gatal ker apa ker jugak boleh kita ubati dengan pelbagai jenis ubat yang ada di pasaran. Tapi kalau sakit berkaitan dengan sindrom autisme ni , setakat ni tkde lagi yg dapat pulihkannya, ini kerana ia bekaitan dengan psikiatri. dalaman.. kejiwaan… dan psikologi. Susah utk orang nak faham dan mengerti diri Muhib sebab dia kelihatan normal ( tiada yg dapat faham Muhib selain saya dan abinya.. dan saya benar2 harapkan sokongan keluarga terdekat).

Sedihnya saya lihat, apabila Mujib yang berusia 1 tahun 4 bulan memanggil “abe… abe… “(panggilan utk anak sulong kami, Muhib). Namun, Muhib buat tak tahu sajer. Situasi ini sering berlangsung di rumah membuatkan saya sering menangis. Sering saya utk pujuk diri sendiri : "Muhib mesti akan dapat bercakap dengan fasih pasni”, tetapi apa yang Muhib buat hanya bermain seorang diri… jika adiknya ada bersamanya, dia akan beralih kearah lain. Jika adiknya merampas barang mainannya, dia akan pasrah dan ambil barang lain.

Susahnya hati saya apabila dia sukar utk makan dan sukar utk tidur malam. Kalau dah tak makan, dia akan menangis menjerit jer.. so, saya bagi dia makan la kerepek atau biskut. kalau nak makan pun sedikit jer nasi putih.. kalau saya taruh eksesori lain dalam nasinya, dia terus tak mahu. Susah bagi di nak makan.. jadi macamnana saya nak buat diet GFCF utk dia.??

Tapi apa yang saya heran, kalau saya nak ke mana-mana.. dia tahu pulak utk bawak barang2 yang dia inginkan.. siap bawak 3 botol susu dan tin biskut yang dia suka tu… selalu macam tu. Dan apabila saya drive, dia tahu kalau saya gi ikut arah lain.. dia agak sensitive pasal arah.. dia nampak lain jer (dah dia tak boleh nak cakap).

Semalam kami membawanya utk “berubat” dengan makcik bidah.. suami macam tak berapa setuju.. tapi kami pergi jugak sebab dia bukan pun baca apa2 yang pelik.. saya dapat tau makcik ni pandai menubati kanak-kanak yang bengkak hati.. tak boleh bercakap, dan sebagainya, tapi Muhib tak mahu duduk umah orang.. dia menangis dan mengamuk jer.

Kehidupan saya kini agak berubah setelah Muhib didiagose sebagai mild autisme sejak beberapa bulan yang lalu. 25 November bebaru ni cukup 3 tahun dia (happy bitrhday anakku.. semoga kau cepat dapat bercakap dengan fasih nanti, ummi tetap menanti saat itu). Saya sering mencari maklumat tentang autisme.. berkongsi dengan parent yang ada anak istimewa ini merupakan rutin harian saya. Dan memang saya tak boleh nak tahan air mata dari terus mengalir kalau berdepan dengan anak istimewa macam ni. semoga kita sama2 bersabar...


Cuti sekolah... boleh dikatakan setiap hari saya membawanya mengikuti speech therapy (under encik Syahrul ikram) atau occupation therapy (under Hasniety) dalam 2 minggu ini. Saya sanggup utk membawa Muhib ke HUSM, dapat appoinment 2 kali seminggu utk OT. telah lama kami membawanya 2 kali setiap 1 minggu. kini, saya dapat faham sikit sebanyak tentang dunia autism, so saya kurangkan kepada 1 kali seminggu utk ke OT. tapi cukupkah kalau saya sajer yang faham "dunia" ini?

Sesungguhnya Allah tidak menguji seseorang itu jika dia sendiri tidak mampu utk menerima keadaannya. Begitulah hakikat sebenar dalam kehidupan di atas dunia ini, kita sering di uji dan ujian itu Allah tak akan bagi kalau kita tak mampu nak pikul. So, kita perlu menjadi hambaNya ang bersyukur dengan cara bersabar, berikhtiar dan berusaha untuk pulih. Firman Allah yang bermaksud :

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-ankabut:2-3)

antara info pasal autisme :
http://www.scribd.com/doc/4810409/Autisma-siap-edit

P/S : Saya nak tangguhkan pekerjaan dan pengajian saya...?? utk sebuah pengharapan..

Thursday, November 27, 2008

Monday, November 3, 2008