Showing posts with label Muhib. Show all posts
Showing posts with label Muhib. Show all posts

Monday, February 16, 2009

Jadilah parent terbaik- dedikasi buat parent yg ada anak autisme



Bismillah dan assalamualaikum warahmatullah..

Mungkin disebabkan penat belajar pagi tadi di nasom, Muhib lena jer.. lama dia tidur tengahhari tadi.. (moga2 malam ni pun dia tidur awal dan lena). Muhib sekarang tidak lagi berada di nursery iQ anakku tetapi kami tinggalkan dia di pusat autisme USM-NASOM yang baru bermula pada hari ini. bermula jam 8pagi hingga jam 12 tengahhari.

Balik USM... Saya tinggalkan Muhib seketika tengah hari tadi kerana di sekolah ada latihan dan saringan sukan.


Mempunyai anak autisme memang agak memenatkan dan memaksa kita untuk lebih "kuat" sebab segala pengurusan dirinya perlu kita jaga dan uruskan. Kebiasaan anak autisme ini sukar utk tidur malam, sukar untuk makan, sukar untuk bergaul dengan orang lain, apatah lagi mereka ini sukar untuk bertutur!.

Muhib kebiasaannya pada setiap malam, tidurnya akan terganggu.. dan menagis dengan kuat pada pukul 2 atau 3 pagi. itulah rutin tidur malamnya. untuk tidak mengganggu tidur jiran lain, abinya akan membawanya menaiki kereta, akhirnya dia tidur berbilikkan dalam kereta dan berkatilkan kusyen kereta.


Dari aspek pemakanan pula, Muhib cerewet terhadap semua jenis makanan kecuali kuih kapit dan kacang pistacio. Kalau saya mengambil masa 30 minit untuk memasak lauk pauk, bila dah sudah, dalam masa 2 minit jer dia terus berlari kerana tak mahu makan. tak berbaloi saya memasak.. kekadang saya paksa jugak dia makan, tp nampak tensen dia.. kesian pulak.

Berat untuk berkata2 tapi berat lagi bahu yang memikul. Untuk parent yang ada anak autisme janganlah berputus asa.. insyaallah, Allah takkan uji kita kalau kita sendiri tak mampu utk pikulnya, kita sesama berkongsi.. cubalah:

1. Lihat anak dari aspek kelebihan jangan lihat anak dari aspek kekurangan.
Khamis lalu, Muhib dah pandai tadah kedua belah tangan dan mengaminkan, sambil menyebut amin... itulah detik bahagia buat saya sebagai ibu.. sebab muhib dah boleh tahu konsep tersebut. Dia juga terlalu obses pada kain telekung labuh saya. kalau saya balik kerja,dia akan pegang dan peluk serta seret ke merata-rata tempat kain tudung saya itu. walaupun agak tidak normal pelakuannya, saya akan anggap itu sebagai satu kelebihan dia.

2. Jangan jemu dan malu mencari maklumat.
Anak sebegini Allah kurniakan pada kita, jangan jemu untuk kita mencari maklumat serta informasi baru. Biasanya saya dapat maklumat melalui terapis dan web site. banyak dalam tenet.

3. Memilih terapi dan mencari penawar utk anak.
walaupun kajian mengatakan bahawa tiada ubat utk autisme, perlu kita membawanya menjalani terapi di hospital atau private punya terapi, terutamanya occupation terapi dan speech therapy. Bebaru ni, kami bawa Muhib bertemu dengan Dato' Doktor Harun Din.. lepas ni ingin bawa mengurut refleks... dulu makan ubat homopati.. utk cucuk akupuncur saya tak berani nak bawa dia.. stemcell pun saya tak berani..

4. Berkongsi dengan parent yang ada anak autisme yang lain.
Melalui perkongsian cerita, pengalaman, tempat berubat dan kaedah terapi anak autisme lain ianya sungguh bermakna dan berharga buat saya. ini kerana hanya ibu bapa yang mempunyai anak sebegini sahaja yang faham perasaan dan pemikiran kita. melaluinya, saya dapat ramai sahabat baru yang boleh kami syer... tambahan pula, parent support usm baru ditubuhkan.. baguslah.

5. Peranan keluarga yang sangat besar.
masa bersama keluarga adalah masa yg paling penting utk anak ini berinteraksi dgn ahli keluarga. sama ada keluarga kecil atau keluagra besar. ahli keluarga kena faham dan beri galakkan utk anak istimewa ini. tok, nenek, mak saudara,pak sedara, adik beradik pesakit autisme memerlukan anda..

6.Janganlah memukul anak.
Tipu kalau saya kata, saya tak pernah pukul Muhib.. pernah... time saya panggil dia buat tak tahu. time dia mengamuk tak tahu kenapa.. time dia menjerit yang saya dah habis cara utk memujuknya.. tp makin kuat dia menangis.. masa tu, hilang dah sabar.. terus jer naik tangan,walaupun niat hanya utk mendisiplin dan mendidiknya.. tapi lepas tu, saya akan menyesal atas kekasaran saya. menangis sendiri!!

7. Ajaklah dia belajar bersosial.
Mujib suka panggil abangnya Muhib dgn panggilan- abee.., Mujib baru berusia 19 bulan tapi dah tahu buat ayat guna 2-3 patah perkataan. selalu dia panggil Muhib utk ajak bermain atau makan. saya akan galakkan mereka bertepuk bersama.. bermain bola besar bersama.. dan sebagainya. dengan sepupunya pun Muhib agak kurang bersosial memandangkan ramai daripadanya adalah lebih besar darinya. cuma ada 3 orang daripada berbelas-belas orang sepupu dia yang leih kurang seusia dengan muhib. jadi, saya selalu cipta permainan kalau mereka bersama. biasanya Muhib akan mengalah macam tu jer... takpelah,yg penting kita ciptakan suasana permainan bersama.

8. Janganlah terlalu membandingkan keadaan anak kita dengan anak yang normal.
biasalah mak ayah mana tak mahu anak dia hidup normal. tapi bila Allah dah uji begini, kenalah juga kita faham.. anak autisme tak sama dengan anak normal yang lain. jadi kita jangan lah sedih sangat bila tengok anak kita kurang berbanding budak lain. kenalah bawa bersabar selalu. dibimbangi kalau kita selalu membandingkan dangan anak normal, kita jadi patah semangat nak terapi anak autisme ni.

tetapi apa yg saya nak syer di sini, ada jugak orang yang selalu membangga-banggakan anak diorang di depan saya di tempat kerja walhal dah tahu saya mempunyai anak autisme.. saya faham mereka sememangnya tidak bermaksud apa-apa.. sekadar bercerita.. bahkan saya benar-benar tumpang gembira atas perkembangan anak-anak mereka. tetapi saya terasa hati apabila ada yang tergamak berkata dengan sengaja di dalam perbualan kami ramai-ramai : "anak yani jauh beza (ketinggalan jauh) berbanding dengan anak dia". Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya tika itu.


9. Menerima anak dengan segala kekurangan dan kelebihannya.
Terimalah seadanya anak kita.. ingatlah, Allah takkan uji kita jika kita tidak mampu memikulnya. hari ini kita susah insyaallah, Allah balasnya dengan pahala dan kesenangan di masa hadapan. insyaAllah.. jadilah parent terbaik utk anak autimse anda... mereka sungguh istimewa!

Sunday, November 30, 2008

always look at the good things..


Demam, batuk dan selsema boleh kita ubati. Sakit kulit, gatal ker apa ker jugak boleh kita ubati dengan pelbagai jenis ubat yang ada di pasaran. Tapi kalau sakit berkaitan dengan sindrom autisme ni , setakat ni tkde lagi yg dapat pulihkannya, ini kerana ia bekaitan dengan psikiatri. dalaman.. kejiwaan… dan psikologi. Susah utk orang nak faham dan mengerti diri Muhib sebab dia kelihatan normal ( tiada yg dapat faham Muhib selain saya dan abinya.. dan saya benar2 harapkan sokongan keluarga terdekat).

Sedihnya saya lihat, apabila Mujib yang berusia 1 tahun 4 bulan memanggil “abe… abe… “(panggilan utk anak sulong kami, Muhib). Namun, Muhib buat tak tahu sajer. Situasi ini sering berlangsung di rumah membuatkan saya sering menangis. Sering saya utk pujuk diri sendiri : "Muhib mesti akan dapat bercakap dengan fasih pasni”, tetapi apa yang Muhib buat hanya bermain seorang diri… jika adiknya ada bersamanya, dia akan beralih kearah lain. Jika adiknya merampas barang mainannya, dia akan pasrah dan ambil barang lain.

Susahnya hati saya apabila dia sukar utk makan dan sukar utk tidur malam. Kalau dah tak makan, dia akan menangis menjerit jer.. so, saya bagi dia makan la kerepek atau biskut. kalau nak makan pun sedikit jer nasi putih.. kalau saya taruh eksesori lain dalam nasinya, dia terus tak mahu. Susah bagi di nak makan.. jadi macamnana saya nak buat diet GFCF utk dia.??

Tapi apa yang saya heran, kalau saya nak ke mana-mana.. dia tahu pulak utk bawak barang2 yang dia inginkan.. siap bawak 3 botol susu dan tin biskut yang dia suka tu… selalu macam tu. Dan apabila saya drive, dia tahu kalau saya gi ikut arah lain.. dia agak sensitive pasal arah.. dia nampak lain jer (dah dia tak boleh nak cakap).

Semalam kami membawanya utk “berubat” dengan makcik bidah.. suami macam tak berapa setuju.. tapi kami pergi jugak sebab dia bukan pun baca apa2 yang pelik.. saya dapat tau makcik ni pandai menubati kanak-kanak yang bengkak hati.. tak boleh bercakap, dan sebagainya, tapi Muhib tak mahu duduk umah orang.. dia menangis dan mengamuk jer.

Kehidupan saya kini agak berubah setelah Muhib didiagose sebagai mild autisme sejak beberapa bulan yang lalu. 25 November bebaru ni cukup 3 tahun dia (happy bitrhday anakku.. semoga kau cepat dapat bercakap dengan fasih nanti, ummi tetap menanti saat itu). Saya sering mencari maklumat tentang autisme.. berkongsi dengan parent yang ada anak istimewa ini merupakan rutin harian saya. Dan memang saya tak boleh nak tahan air mata dari terus mengalir kalau berdepan dengan anak istimewa macam ni. semoga kita sama2 bersabar...


Cuti sekolah... boleh dikatakan setiap hari saya membawanya mengikuti speech therapy (under encik Syahrul ikram) atau occupation therapy (under Hasniety) dalam 2 minggu ini. Saya sanggup utk membawa Muhib ke HUSM, dapat appoinment 2 kali seminggu utk OT. telah lama kami membawanya 2 kali setiap 1 minggu. kini, saya dapat faham sikit sebanyak tentang dunia autism, so saya kurangkan kepada 1 kali seminggu utk ke OT. tapi cukupkah kalau saya sajer yang faham "dunia" ini?

Sesungguhnya Allah tidak menguji seseorang itu jika dia sendiri tidak mampu utk menerima keadaannya. Begitulah hakikat sebenar dalam kehidupan di atas dunia ini, kita sering di uji dan ujian itu Allah tak akan bagi kalau kita tak mampu nak pikul. So, kita perlu menjadi hambaNya ang bersyukur dengan cara bersabar, berikhtiar dan berusaha untuk pulih. Firman Allah yang bermaksud :

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-ankabut:2-3)

antara info pasal autisme :
http://www.scribd.com/doc/4810409/Autisma-siap-edit

P/S : Saya nak tangguhkan pekerjaan dan pengajian saya...?? utk sebuah pengharapan..

Monday, November 3, 2008

Tuesday, June 17, 2008

Mengharap redhaMu

Selesai tugasan mengajar di sekolah, saya tidak terus pulang ke rumah, saya masih di meja.. ingin mengambil masa berharga ini utk menelaah subjek " sistem undang-undang di malaysia" , sambil menanti kelas tambahan yang berlangsung kul 3ptg. perjalanan hari ini seperti hari-hari biasa di sekolah kecuali sedikit tekanan kerana saya hampir menempuh peperiksaan tak lama lagi.


Balik dari sekolah saya terus solat asar.. mengemas apa yang patut.. dan.. online... mencari apa sajer maklumat yang saya inginkan, tanpa ketinggalan terus ke pautan web suami saya..


"hujan" tiba membasahi pipi saya selepas membaca posting suami saya hari ini di dalam webnya. saya melihat gambar-gambar lama muhib.. terkenang memori ketika membesarkannya.. senyumamnya.. keaktifannya dulu.. keceriaannya, senyumannya dulu...


Bagaimanakah hati seorang bapa dapat mengungkap bait-bait "syahdu" seperti ini jika tidak kerana sama-sama merasai apa yang saya rasa.. lantas, hati saya yang saya rasa 'kuat' kembali bergelinang.. tapi saya sedar, ada insan lebih sukar dari kami. Ya Rabb.. gantikanlah kekurangan ini dengan kelebihan..



Bicara Buat Anakanda


Lahirmu membawa kebanggaan pada ayah bonda,


Ketika laungan azan Jumaat terbang ke udara,


Kau hadir bagi menyambung perjuangan ayahanda,


Sungguh, hanya air mata abi menjadi saksi,


Sewaktu tangisan pertamamu menerjah ke telinga,


Syukur dan tahmid tidak pernah putus


Kerana hadirnya anakanda…


Kau sudah mula membesar..


Biar apapun bicara mereka


Kau tetap anak kami… ayah dan bonda,


Selagi hayat kami dikandung badan,


Kau akan kami lindungi


Kau tetap buah hati kami


Temanilah kami sepanjang hayat.


Anakanda,


Dindamu memanggil-manggil dirimu,


Ayah bonda menyeru-nyeru namamu,


Ketahuilah, kami akan sentiasa menyayangimu


Walau ke mana kaki kami melangkah,


Hati kami sentiasa bersamamu


Takkan kami biarkan dirimu keseorangan,


Menongkah arus hidup dalam cabaran mengganas ini,


Memang, dunia ini terlampau ganas untukmu,


Namun, kau perlu terus berjuang,


Andai hayat kami berakhir,


Teruskanlah hidupmu wahai anakanda,


Kau punya doa kami,


Dengan izin Allah, kau kan punya adinda-adinda,


Allah akan memeliharamu.


Anakanda,


Bicaramu mungkin tersembunyi di benakmu,


Namun, hari itu pasti akan tiba juga,


Pada saat kamu akan menjadikan hati kami bangga,


Kalau tidak di sini, pasti di sana….


Monday, December 10, 2007

Resepi untuk Muhib



Assalamualaikum. Alhamdulillah,masih dapat menulis dalam blog yang agak lama saya tinggalkan, bukan sebab saya tak nak menulis tetapi kecenderungan saya lebih ke arah lain buat masa ini. Namun, agak tercabar dengan web suami saya yang berwajah baru walaupun ’position’ kami berbeza. :-) Hmm.. cuba lihat ni kalau tak percaya- http://www.ahmadfadhli.com/

Saya tak tau topic apa yang bakal saya tulis ni .. (mungkin lama sangat tinggalkan blog ni kot... ) tapi kebelakangan ini saya sering memikirkan tentang cara asuhan saya terhadap anak-anak. Ia betul-betul perkara yang jadi main topic dalam fikiran saya. Adakah betul cara didikan saya terhadap mereka? cukupkan khasiat mereka dalam diet seharian...??

Beberapa minggu sebelum ini, saya dalam situasi yang buntu, tak tahu apa yang perlu di buat. Muhib hilang selera makan... sebagai seorang ibu saya risau melihat keadaan gitu. Macam-macam saya cuba ubah resepi untuk ubah selera dia. Kalau tak nasi, mee atau roti untuk karbohidrat dia... tapi dia tetap tak mahu, dia cuma suka makan biskut, dan buah-buahan sajer.. Air masak pun dia tak nak minum, jadi kenalah saye rajin-rajin buat jus buah untuk dia... tapi sekarang alhamdulillah semua dah ok (thanx jugak buat kekawan yang sudi syer resepi dalam YM), malah sekarang ni dia ’lalu’ (berselera) sangat bila makan.. apa semua dia makan..hehe

Ada satu resepi yang saya nak syer untuk semua... kot kalau-kalau anak tak mahu makan nasi, jadi boleh buat time tu untuk ganti menu nasi, resepi ni macam bebola bersayur la..

1 senduk daging atau ayam yang dicincang halus
1 sudu besar telur goreng yang dipotong halus
1 biji telur ayam
1 sudu besar bayam yang dicincang
1 sudu kecil beras yang direndam di dalam air sebelum digunakan- supaya lembut
1 sudu besar carot yang diparut halus
1 biji kentang bersaiz kecil - direbus bersama kulit, kemudian kupaskan kulit dan lecekkan.

Cara memasaknya senang jer.. campurkan semua bahan-bahan dan buatkan macam bebola gitu... then, kukus dalam 25 minit. Dah siap.... sedia untuk di makan. Kalau tak habis, boleh jugak simpan dalam peti ais.

Tuesday, September 11, 2007

Aku hidup bermadu…?


Sesiapa jua tidak ingin hidupnya bermadu atau di madukan. Islam pada dasarnya membolehkan seseorang lelaki beristeri lebih dari satu dengan syarat suami harus dapat berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Namun, mampukah lelaki berlaku adil? persoalan yang sering di lontarkan dari pihak isteri untuk suami yang ingin isterinya hidup bermadu. Kenapa saya cerita bab madu- bermadu ni erk?? Entahlah yerk.
.
Saya juga hidup bermadu… hehehe.. jangan terperanjat kawan-kawan. Saya tidak bermadu dengan wanita lain.. tapi bermadu dengan perjuangan. Yerlah,dah tiap malam saya sering ditinggalkan oleh suami. Selain bekerja di siang hari, di sebelah malam pula suami saya memberi kuliah di masjid-masjid pada setiap malam… kekadang membawa ke lewat malam untuk tiba di rumah. Apatah lagi kalau tempat yang di tuju adalah tempat yang jauh. (kekadang ada jugak orang kol malam-malam, rasa bimbang gak- tapi pasrah jerlah- sebab dah yakin bangat kat suami). hmm.. entahlah.
.
Pernah suatu malam, muhib tak mahu tidur dan dia menarik-narik baju abinya (yang saya dah basuh cuma tak iron jer) dan tunjukkan pada saya, mungkin dia ingin bertanyakan “mana abi? Bila abi nak pulang?” kesian melihatnya begitu… tapi apa yang perlu saya lakukan sebagai seorang ibu? Saya cuba untuk memahamkan dia…
.
Tidak salah sekiranya kadang-kadang saya merasa sedikit sebak dan juga letih untuk mengasuh anak-anak seorang diri, tambahan pula ada si kecil yang berusia sebulan lebih. Mana nak uruskan jika pada masa yang sama yang kecil nak susu dan yang besar pun nak susu… jika yang kecil berak dan yang besar pun berak. Dan pada masa yang sama mereka berdua menangis.. Saya pula nak study.. nak menelaah pelajaran... Hmmm?


Tetapi saya sering memujuk hati agar sentiasa ikhlas dalam menjaga keluarga. bak kata pepatah arab- warak kul rajulin azim imraah. Bolehkah saya begitu? semoga begitulah hendaknya... begitu juga dalam mendidik anak dengan sebaik mungkin dan supaya keterbiasaan mereka melihat abi menelaah kitab sebelum memberi kuliah pada orang ramai menjadi ikutan buat mereka. Insyaallah..
.
Sesungguhnya islam tertegak seiringan dengan tertegaknya institusi ulama. Jadi, apalah salahnya jika saya menyokong segala perjuangannya dari belakang. Saya patut bersyukur mempunyai suami yang masa, tenaga dan ilmunya di manfaatkan untuk orang ramai.

Thursday, May 17, 2007

Menyemai Budaya Membaca


Ish.. Nak pilih buku mana ni ?... "Kisah Parameswara" ni macam sejarah jer...


Buku "Keluarga Dollah yang suka membazir" ni macam dah pernah dengar...


Nanti... Muhib nak tengok hak lain la.. nak cari buku... buku.... yang tajuk dia.. "Sejarah perjuangan Nabi" tak jumpa pun nih... ish, kat mana dia letak?

Ops... dah selerak... biar Muhib susun balik.. tak baik selerak-selerak... nanti umi marah...

Umi... abi... Muhib ambil buku ni lah..."Kisah raja bersiung" lah... nanti abi tolong bacakan yer..
----------------------------
Budaya membaca seharusnya bermula dan disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Ibu bapa yang prihatin seharusnya mempunyai pandangan yang kritis terhadap budaya dan tabiat membaca anak-anak mereka.. yela,semua mak bapak mahukan anak mereka berjaya,kan? Jadi kita kenala usaha sikit.. anak-anak ini sebenarnya perlu dididik menjadi ‘ulat buku’.

Tidak semua anak dilahirkan bijak. Kebanyakan anak dididik untuk menjadi bijak. Kesannya kita akan lihat tetapi bukan segera, didikan tersebut hanya boleh dilihat dan dinilai setelah beberapa tahun.. kita kena usahalah sikit…

Membaca cerita sebenarnya adalah salah satu cara yang penting bagi ibu bapa dalam membantu anak-anak mereka belajar membaca.Muhib sejak kecil lagi dia memang tak banyak menangis.. suka tengok sekeliling dia jerk… tidur pun tak banyak..(selalu je gerak kaki dan tangan dia..) sebab tu saya ambil kesempatan dia yang tak tidur dan tak menangis ni dengan bercerita dengan dia… (apa jua jenis buku pun takpe sebenarnya asalkan sesuai dengan peringkat usia mereka… buku-buku sirah ker… storybook ker…) saya baca mangadap dia dengan menggunakan ekspesi gaya terutama sekali suara.. tak perlu lama pun, saya buat cukup 5 hingga 7 minit jer sekali cerita…percayalah, dia akan cepat ‘ tangkap’ dan kekadang kita akan terkejut dengan respon yang baby berikan.. kita pun seronok kan bila tengok perkembangan begitu….

Ada beberapa teknik di bawah ini sebagai panduan untuk menyemai budaya membaca di kalangan anak-anak:

Biarkan anak melihat anda membaca sebagai satu keseronokan.
Jangan memaksa anak anda membaca kalau mereka tak suka.. tetapi sedayanya cuba terapkan dengan cara ; amalan kita yang suka membaca… kita bacalah apa pun 'produk' bahan bacaan di hadapan mereka.. nak baca newspaper ker.. nak baca buku apa saja pun kita baca depan dia…biar dia tengok kita begitu... (Muhib masa kecil selalu mengoyakkan newspaper abi dia.. sekarang pun asyik nak ambil buku yang umi nak baca... kena bagi jugak buku lain kat dia...)

Galakkan anak anda “membaca” kepada anda.
Bila anak anda buat begitu… jangan lupa untuk memuji atas usahanya itu walaupun nampak kecil tapi ia amat berharga untuk si kecil… dan kekadang try cari buku dalam bahasa asing pula… seperti bahasa Inggeris dan bahasa arab.. galakkan mereka menguasai dua bahasa tersebut..

Tunjukkan benda sekeliling anda yang ada tanda tulisan.
Kalau kita naik kereta nak ke mana-mana.. tentu banyak terdapat signboard yang ada tulisan… banyak sangat kan? jadi sambil-sambil duduk dalam kereta tu apa salahnya bagitahu si anak…bacakanlah untuk dia.. memang dia tak reti lagi baca… tapi itulah sebenarnya satu galakkan untuk mereka membaca.. selain kat atas jalanraya, kat makanan kita beli pun kekadang ada tertulis sesuatu.. jadi, bacalkan untuk mereka.

Simpan bahan-bahan membaca dan menulis di tempat yang mudah di ambil.
Buku, majalah, pensel dan kertas simpanlah di tempat yang mudah untuk mereka ambil. Tapi para ibu kenalah rajin-rajin untuk menyimpan balik bahan-bahannya.. kena buat ‘dek’ dengan keselerakkan yang anak-anak tinggalkan… takpelah… sebab itu yang menjadikan kita ‘slim’ nanti... hehe

Jangan jadikan waktu membaca sebagai ugutan.
Jika anak-anak anda menunjukkan tanda-tanda kurang berminat untuk membaca… Jangan memaksa anak anda membaca. Cuba jadikan masa membaca masa yang menyeronokkan agar anak anda dapat memupuk minat membaca. Jangan jadikan masa membaca seolah-olah masa yang menggerunkan mereka.. nanti mereka ‘lari’ dari tabiat yang suka membaca. try cari inisiatif lain...

Jangan membandingkan anak anda dengan kanak-kanak lain.
Tahap keupayaan anak-anak tak sama walaupun mereka adik beradik bahkan walaupun mereka kembar seiras.. ada antara mereka cepat menerima apa yang kita ajarkan dan ada pula yang sebaliknya.. kekadang anak-anak pintar tidak menunjukkan prestasinya sekarang tapi di masa akan datang… setelah kita sebagai ibu bapa berusaha yang terbaik untuk anak-anak, berdoa dan bertawakkallah.. semoga mereka menjadi anak berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara nanti.. jadi, jangan cuba bandingkan anak-anak kita dengan anak-anak orang lain yer… walaupun anak kita ‘lebih’... ingat tu yer..

Sunday, April 29, 2007

Demam dan Daun Sireh…




Alhamdulillah… Ujian yang Allah beri tak lama sekadar beberapa hari cuma. Saya bersyukur sesangat apabila Muhib dah beransur stabil. Hari ni pun dia dah memulakan aktivitinya seperti biasa ; menyelerakkan permainan, berucap dalam bahasa dia dan juga mengadap buku-bukunya.

Sehari sebelum suhunya naik tinggi Muhib mengambil dan meletakkan termometer di dahinya sendiri, rupa-rupanya itu petunjuk bagi saya. Kesian melihat si anak sedemikian, saya meletakkan cool fever dan sentiasa memastikan suhu badannya tidak naik. Ubat pun saya beri..


Pesan mak saya sejak dari dulu, jangan sesekali remehkan demam si kecil. Pelbagai penyakit
yang ringan ataupun yang bahaya bermula dengan gejala naiknya suhu badan. Pada kanak-kanak, suhu badan adalah antara 36-37C . Kalau lebih tu kira panaslah tu…


Setiap kali cucunya demam, mak saya pasti akan buat sesuatu , dalam bahasa Kelantan orang sebut ‘bomoh’ (tasydid di huruf b) dengan menggunakan daun sireh, kunyit dan sedikit kapur. 3 bahan ni di hancurkan dalam sedikit air. Kemudian lumur pada seluruh badan. Kita berusaha dengan harapan ramuan ini menjadi asbab untuk sembuh dan Dia yang berhak menyembuhkan bukan manusia.


Saya tidak pasti apa kandungan khasiat bahan-bahan tersebut tapi yang nyata terdapat kebenaran bahawa ia dapat menyejukkan badan yang panas. Selain cucu-cucunya, ramai juga yang bawa anak yang tak henti menangis datang ke rumah untuk ‘bomoh’ (tasydid di huruf b). Alhamdulillah…. Berkesan.


Hmm, kalau ada sesiapa yang expert dalam bidang kajian saintifik. Cubalah selongkar apa khasiatnya yang sebenar. Saya rasa banyak khasiat lain yang saya sendiri kurang arif.. patutlah ada pantun tentang daun sireh ni…




“ Sireh junjung si pinang tua,

Dibawa Baba dan juga Nyonya,

Acara Sireh Pinang mengongsi petua,

Warisan berzaman, kaya manfaatnya! ”

Wednesday, April 25, 2007

Anak saya sukakan keyboard!


Berapakah umur yang paling sesuai bagi seseorang kanak-kanak untuk boleh mula menggunakan komputer? Sesuaikah untuk bayi berusia 16 bulan? Bagi ibu bapa yang optimis, mereka mungkin sudah mula menjinakkan anak mereka untuk duduk di ribaan di hadapan PC seawal umur bayi mereka mencecah 6 atau 7 bulan. Bayi seusia itu sebenarnya telah mula mencerap objek-objek pada skrin terutama pada warna-warna terang.
.
Seperti Muhib, pantang kalau saya on laptop, terus saja dia datang ke arah keyboard dan terus memulakan operasinya untuk tekan-menekan. Apa yang nak dia taip, saya pun tidak tahu. Saya cuba untuk memerhatikan gelagatnya, dia sering melihat objek atau perkataan di layar skrin.. seolah-olah menyelidik sebab dan akibat sesuatu perkara, kalau tekan sini keluar kotak ni, kalau tekan sana keluar benda lain pula… hmm, begitulah gamaknya yang dia fikir, dan dia akan terus menyentuh, memegang dan menekan keyboard (yang hairan, dia tidak pula tekan pada objek lain tapi pada keyboard !- mungkin sering melihat saya dan abinya menekan-nekan keyboard).

Jika anak anda begitu, biarkanlah.. berikan dia peluang untuk menerokainya…. Biarkan si kecil menekan mana-mana papan kekunci. Kalau boleh, letakkan tangan anda di atas tangannya semasa dia cuba menggerakkan mouse. Bersembang dengan anak anda sambil dia menggunakan laptop. Perkenalkan aplikasi-aplikasi yang sesuai dengan usianya. Tapi awas, jangan pula biarkan dia keseorangan.. hmm, nanti lain pula jadinyer..

Tuesday, April 17, 2007

Kau Ibarat Sehelai Daun Hijau

Kau ibarat sehelai daun hijau
Mudah menerima dan memahami
Apa yang kami ajari.


Moga kau menjadi anak soleh…

Penyejuk hati umi dan abi..
Taat perintah Allah..
Taat perintah Nabi..
Taat umi dan abi…


Doa itu sering kudodoikan buatmu…

Dan kau sering tersenyum…
Mungkin memahami doa umi-mu ini…


Suatu hari nanti

Sebagai pewaris harapan agama,
Bangsa dan negara


Akan berdiri di hadapan

Harus bersemangat waja
Menghadapi segala rintangan
Usah gentar menghadapi
Arus cabaran
Yang datang silih berganti


Umi dan abi mendoakan

Agar kau..
Cemerlang di dunia dan akhirat
Bahagia di dunia dan akhirat
Selamat di dunia dan akhirat

Gambar : Muhib dengan kawan baiknya yang baru dikenali sebentar tadi... ultraman. hehe