Sunday, September 21, 2008

Detik kematian


-Perkara-perkara sunat dilakukan selepas roh keluar dari jasad-



Detik kematian


Tertulis kematian

Pada suratan kehidupan

Namun hanya Allah yang tahu

Bilakah ajal bakal bertamu


Detiknya menghampiri

Tanpa petanda yang menanti

Bila tiba saatnya nanti

Tak siapa dapat melarikan diri


Itu hakikat dan kepastian

Hadirnyanya tidak pernah kita alukan

Tua dan muda , miskin dan kaya

Semua insan pasti melaluinya


Sakit dirasa tidak terkata

Tika dipisahkan jiwa dari jasadnya

Hanya amalan bias redakan

Beban derita diambang kematian


Denyutan nadi akhirnya terhenti

Bersama nafas yang tak terhela lagi

Kerana jiwa meninggal pergi

Pulang kembali untuk mengadap illahi


Dari Allah kita datang

Kepadanya kita pasti pulang



Sama-sama kita doakan semoga penutup kehidupan kita adalah penutup yang baik iaitu husnul khatimah.. insyaallah


Monday, September 8, 2008

Minda kanak-kanak autisme lebih tajam


Minda kanak-kanak autisme lebih tajam

KUALA LUMPUR 14 Julai - Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran mendapati kanak-kanak autistik (menderitai autisme) mempunyai ketajaman minda yang lebih hebat berbanding kanak-kanak normal.


Penolong Pengarahnya, Abdul Rahaman Mohd. Darus berkata, berdasarkan pengalaman beliau menguruskan golongan terbabit, mereka didapati mampu mempelajari dan mengingati perkara yang mereka minati dengan cekap dan cepat tanpa sebarang bantuan daripada tenaga pengajar.


"Saya pernah menemui seorang kanak-kanak autistik berbangsa Cina yang berumur 12 tahun, mampu menulis lima baris doa harian yang tertulis pada dinding sebuah kelas Pendidikan Islam dengan lengkap baris tajwidnya tanpa diberi latihan khusus.


"Kami hanya menyedari kelebihan kanak-kanak itu selepas tiga tahun beliau secara rutin melintasi kelas Pendidikan Islam tersebut untuk menghadiri kelas pendidikan moral yang bersebelahan dengannya," katanya selepas majlis perasmian Seminar Mempertingkatkan Kesedaran bagi Kanak-kanak Autisme di sini semalam.


Namun begitu, beliau berkata, kelemahan komunikasi golongan autistik adalah punca ibu bapa mereka gagal mencungkil kebolehan yang tersembunyi itu.


Katanya, minda golongan autistik boleh menyerap perkara tertentu yang berlaku di sekeliling mereka dengan cepat walaupun secara zahirnya mereka kelihatan seolah-olah dalam kebingungan.


Bagaimanapun, Abdul Rahaman berkata, golongan itu lebih suka berada dalam dunianya sendiri dan degil untuk berkomunikasi dengan masyarakat menyebabkan mereka dianggap membebankan dan berpenyakit bagi sesetengah pihak.


"Apa yang lebih merisaukan ialah jika golongan autistik ini tidak dilatih dengan betul, mereka

berkemungkinan akan hilang tumpuan kepada semua perkara yang ada di keliling mereka," katanya.


Oleh itu, katanya, ibu bapa diharap dapat mendaftarkan anak-anak mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pelajaran agar mereka dapat dilatih untuk berkomunikasi secara normal.


Sementara itu, Pengerusi Yayasan Amal Wangsa, Datin Sri Siti Nooriah Ana Razak berkata, kehadiran pakar-pakar dari Kementerian Pelajaran diharapkan berupaya membantu golongan terbabit.


Beliau berkata, seminar seperti itu membolehkan ibu bapa mengetahui cara yang lebih efektif untuk membimbing anak-anak autistik.


Golongan autistik mula dikesan sejak tahun 1960-an dan didapati kanak-kanak golongan ini mempunyai pemikiran yang lebih tajam berbanding kanak-kanak biasa serta mempunyai bakat yang tersendiri seperti melukis, fotografi serta menyanyi.

- Bernama