Sunday, April 29, 2007

Demam dan Daun Sireh…




Alhamdulillah… Ujian yang Allah beri tak lama sekadar beberapa hari cuma. Saya bersyukur sesangat apabila Muhib dah beransur stabil. Hari ni pun dia dah memulakan aktivitinya seperti biasa ; menyelerakkan permainan, berucap dalam bahasa dia dan juga mengadap buku-bukunya.

Sehari sebelum suhunya naik tinggi Muhib mengambil dan meletakkan termometer di dahinya sendiri, rupa-rupanya itu petunjuk bagi saya. Kesian melihat si anak sedemikian, saya meletakkan cool fever dan sentiasa memastikan suhu badannya tidak naik. Ubat pun saya beri..


Pesan mak saya sejak dari dulu, jangan sesekali remehkan demam si kecil. Pelbagai penyakit
yang ringan ataupun yang bahaya bermula dengan gejala naiknya suhu badan. Pada kanak-kanak, suhu badan adalah antara 36-37C . Kalau lebih tu kira panaslah tu…


Setiap kali cucunya demam, mak saya pasti akan buat sesuatu , dalam bahasa Kelantan orang sebut ‘bomoh’ (tasydid di huruf b) dengan menggunakan daun sireh, kunyit dan sedikit kapur. 3 bahan ni di hancurkan dalam sedikit air. Kemudian lumur pada seluruh badan. Kita berusaha dengan harapan ramuan ini menjadi asbab untuk sembuh dan Dia yang berhak menyembuhkan bukan manusia.


Saya tidak pasti apa kandungan khasiat bahan-bahan tersebut tapi yang nyata terdapat kebenaran bahawa ia dapat menyejukkan badan yang panas. Selain cucu-cucunya, ramai juga yang bawa anak yang tak henti menangis datang ke rumah untuk ‘bomoh’ (tasydid di huruf b). Alhamdulillah…. Berkesan.


Hmm, kalau ada sesiapa yang expert dalam bidang kajian saintifik. Cubalah selongkar apa khasiatnya yang sebenar. Saya rasa banyak khasiat lain yang saya sendiri kurang arif.. patutlah ada pantun tentang daun sireh ni…




“ Sireh junjung si pinang tua,

Dibawa Baba dan juga Nyonya,

Acara Sireh Pinang mengongsi petua,

Warisan berzaman, kaya manfaatnya! ”

Thursday, April 26, 2007

Cuti Pertabalan Yang Dipertuan Agong…


"Nak gi mana kita hari ni?", pasti itu yang menjadi mauduk perbincangan suami isteri untuk menghabiskan hari cuti umum yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada semua kakitangan di sektor awam bersempena pertabalan Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Ramai yang mengambil kesempatan untuk membawa keluarga dan anak-anak keluar bersama atau paling tidak, berada di rumah menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak. Walau bagaimanapun, tidak semua orang dapat menikmatinya setiap kali cuti.

Memang benar bagi sesetengah isteri, mereka akan rasa bahagia jika si suami sering bersama, makan bersama, keluar shopping bersama, ke taman bersama, mengajar anak bersama serta menonton televisyen bersama. Namun, bagi si isteri yang suaminya sibuk bekerja atau mempunyai program ceramah sana sini, pasti memahami apa yang saya rasa. Tetapi itu bukan bermakna saya tidak bahagia. Sukatan untuk menilai bahagia ni tidak sama bagi semua orang.
.
Dan saya tidak akan berkecil hati kerana di sinilah letaknya sikap memahami isteri terhadap suami yang terlalu sibuk setiap hari, siang dan malam.

Saya akan tetap rasa bahagia apabila suami tidak hanya bekerja untuk mencari nafkah dunia semata-mata tetapi juga keluar memberi manfaat kepada orang lain. Setiap kali keluar, sering saya berpesan minta agar berdoa untuk kesejahteraan keluarga. Doa orang yang bermusafir dan berjihad mudah dimakbulkan olehNya dan akan membawa keberkatan dalam hidup kita.
.
Bukankah ini semua di namakan pengorbanan dan perjuangan? Kepada kaum isteri… Ingatlah, hidup ini perlu berjuang bukan untuk bersenang….!

DIRGAHAYU BUAT TUANKU....

Wednesday, April 25, 2007

Anak saya sukakan keyboard!


Berapakah umur yang paling sesuai bagi seseorang kanak-kanak untuk boleh mula menggunakan komputer? Sesuaikah untuk bayi berusia 16 bulan? Bagi ibu bapa yang optimis, mereka mungkin sudah mula menjinakkan anak mereka untuk duduk di ribaan di hadapan PC seawal umur bayi mereka mencecah 6 atau 7 bulan. Bayi seusia itu sebenarnya telah mula mencerap objek-objek pada skrin terutama pada warna-warna terang.
.
Seperti Muhib, pantang kalau saya on laptop, terus saja dia datang ke arah keyboard dan terus memulakan operasinya untuk tekan-menekan. Apa yang nak dia taip, saya pun tidak tahu. Saya cuba untuk memerhatikan gelagatnya, dia sering melihat objek atau perkataan di layar skrin.. seolah-olah menyelidik sebab dan akibat sesuatu perkara, kalau tekan sini keluar kotak ni, kalau tekan sana keluar benda lain pula… hmm, begitulah gamaknya yang dia fikir, dan dia akan terus menyentuh, memegang dan menekan keyboard (yang hairan, dia tidak pula tekan pada objek lain tapi pada keyboard !- mungkin sering melihat saya dan abinya menekan-nekan keyboard).

Jika anak anda begitu, biarkanlah.. berikan dia peluang untuk menerokainya…. Biarkan si kecil menekan mana-mana papan kekunci. Kalau boleh, letakkan tangan anda di atas tangannya semasa dia cuba menggerakkan mouse. Bersembang dengan anak anda sambil dia menggunakan laptop. Perkenalkan aplikasi-aplikasi yang sesuai dengan usianya. Tapi awas, jangan pula biarkan dia keseorangan.. hmm, nanti lain pula jadinyer..

Krim Coklat Untuk Kek Coklat

Hmm, tempohhari saya ada menurunkan "ilmu".. satu resepi kek coklat... tapi terlupa pula nak kasi cara buat krim dia. Bila ada orang tanya, baru ingat.hehe... itulah manusia, sering lupa dan perlu sering diingatkan. Pelbagai inisiatif cara nak buat krim dia tu, tapi yang jadi favourite :

Bahan-bahannya:
1 bar cooking coklat
1/4 cawan susu cair
2 sudu besar ising
1 sudu besar mentega

Caranya membuat:
Masak atas api yang perlahan coklat bar dan susu cair, hingga cair coklat. Then, masukkan 2 sudu besar gula ising dan 1 sudu besar mentega. Kacau biar sebati... dan taruh atas kek yang dah dibuat... dah siap.. yum,yum

Harap berpuas hati.. tapi ini cara saya jer.. kalau ada yang nak syer cara lain, boleh gak... maklumlah baru "setahun jagung" jadi suri.. huhu..

Assalamualaikum…

Buat sesiapa yang tersesat.. masuk dalam blog ni… ana harapkan, dapatlah kiranya memberi sikit pandangan tentang satu ‘isu’. “Wanita, patut bekerja atau tidak?" Hmm.. saya pasti masing-masing mempunyai pandangan yang tersendiri. Jadi, apa salahnya berkongsi pandangan… :-)

Pencarian…

Actually, sajak ni dah lama saya buat.. masa zaman muda-muda dulu..ni pun masih muda lagi.. hii.. entah kenapa rasa macam nak simpan dalam blog ni…

Pencarian

Aku tidak tahu…
Mengapa hatiku begitu tersentuh
Mangapa air mataku deras mengalir
Menatap watak kemuliaan
Penuh keikhlasan

Cahaya itu ada…
Namun entah di mana?
Cahaya itu wujud…
Untuk kugapai tapi terlampau jauh
Cahaya itu yang ku impikan…

Nur hidayah penghias diri
Nur iman pembalut diri
Nur amal pembela diri
Ketepian sejahtera yang abadi
Ku tahu….
Hanya Dia yang mampu memberi

Ya Allah…
Berikanlah aku kekuatan
Semangat membara kukuh terpatri
Bersama ilmu dan amal di hati
Akan ku mencari sebuah pencarian
Dalam ertikata penuh bermakna

Namun…
Akan berjayakah misi?
Seandainya tekad hanya di hati
Seandainya azam hanya di diari…?


Itik mencari-cari,


Apa yang dicari sendiri pun tak pasti,


Kuatkan diri muhasabahkan nafsi,


Hidup bertunjangkan rindu illahi.



Buat Teman… Bersabarlah…!

Dalam hidup ini, Allah swt sering menguji kita untuk menyukat setakat mana keimanan kita terhadapNya. Kita sering diuji dengan kesenangan dan kekadang dengan kesusahan. Mehnah yang di beri tidak terjangkau oleh kita akan hikmahnya.

Buat teman yang belum dikurniakan cahaya mata.. itu merupakan satu ujian, setiap kesabaran tersebut pasti di balasNya andai kita bersabar dan redha.. hmm, mana tahu rezeki datang lepas ni. Macam mak sedara sebelah mak saya, 7 tahun kahwin, baru dapat rezeki. Bila dah dapat rezeki tu, tiap2 tahun dapat anak sampai 7 orang. Hmm..

Monday, April 23, 2007

Jus Buah-buahan… Baik Untuk Kesihatan



Bayangkan dalam cuaca panas, anda dihidangkan dengan jus buah yang segar dan sejuk.. hmm.. yum.. yum.. delicious,kan? Apabila anda keluar makan bersama keluarga, pilihan jus buah lebih baik dari minuman sirap yang lain. Rasa jus yang manis dan menyegarkan dengan aroma semulajadi pasti membangkitkan selera. (hmm, mujur sekarang bukan bulan puasa).

Ia bukan saja sedap malah memberi banyak khasiat dan cukup baik untuk kesihatan badan. Misalnya… jus epal, khabarnya dapat membuang toksik yang berlebihan dalam badan. Pernah juga saya mendengar petua dari ibu saya tentang khasiat buah belimbing. Amalan meminum jusnya dapat mencegah tekanan darah tinggi. Jus tembikai pula di katakan elok untuk mereka yang baru menjalani pembedahan atau demam, sebab ia dapat membantu proses penyembuhan luka.

Saya sering buat minuman jus di rumah, kekadang cuba untuk mengkombinasikan lebih daripada satu jenis buah. Testemoni pertama ialah buah epal + oren + anggur (campur limau nipis sikit) . Hmm, kombinasi ini banyak vitamin C… sedap… anda cubalah!

Sunday, April 22, 2007

Abi Boleh Buat…

Berpegang tangan isteri pun sudah dapat pahala, apatah lagi berbuat baik dengan isteri dan anak-anak. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan bahawa baginda seorang bapa yang penyayang terhadap anak-anak dan berbuat baik pada isteri.

Kebiasaan setiap hari saya menguruskan si kecil yang berusia 16 bulan ini siang dan malam. Abinya pula sibuk dengan tugasan yang pelbagai. Hmm, bolehkah abi melakukan tugasan yang uminya lakukan jika keadaan memaksa? Bebaru ni, semasa saya sedang berdepan dengan peperiksaan semester, abi telah melakukan sesuatu yang diluar jangkaan saya.. rupa-rupanya abi boleh buat semua!

Abi “The chef”

Hmm.. tak percaya rasanya abi boleh buat nasi goreng.. sedap pula tu.. Cuma mungkin tak sesedap uminya masak.. hehehe.. tapi kira oraitla.. dan saya memang suka kalau ada orang tolong masakkan.. tambahan pula, saya pun masa tu tengah “mabuk-mabuk”.

Abi “The maid”

Semasa saya sibuk menelaah madah, dan buat last preparation untuk exam,abi tanpa segan silu menukar lampin, menyuapkan susu dan memberikan bubur nasi yang telah saya siapkan. Tapi fenomena ini biasa kita lihat sekarang, kan? Huh… kalau dulu, jika ada orang nampak suami buat kerja-kerja sebegini, pasti dikatakan bahawa si suami ni kena queen control…

Abi “A nurse”

Kebetulan pula masa struggle untuk exam, anak demam la pulak.. Ya Allah, masa tu hanya tuhan saje yg tahu bagaimana perasaan saya tika itu. hmm, mujurla abi tahu bagaimana nak menguruskannya.. abi kasi ubat. Apabila saya tidur-tidur ayam untuk study, abi tidur-tidur ayam untuk jadi nurse.. masa begini, kena pandai-pandai nak kawal suhu badan anak.. kena selalu tuam dengan air sejuk pada badan anak.. hmm, jasa abi akan ku kenang selamanya… thanx.

Abi “The housekeeper”

Ada ke suami sanggup ‘turun padang’ untuk membantu isteri , mengemas? membasuh? menyapu sampah? Hmm,setakat ni abi tak pernah lagi buat semua tu, dan saya pun tak sanggup nak lihat suami yang buat kerja-kerja tu semua.Tolong angkat kain jemuran.. menyimpan barang mainan anak pun saya dah cukup berterima kasih… sebenarnya, membantu isteri buat kerja rumah bukanlah pengalaman ngeri seperti sesetengah suami fikirkan, tapi itulah yang dikatakan ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’.... iyer tak??

Abi “The story teller”

Walaupun kerja ni nampak mudah, tapi tidak semua suami yang dapat bertahan dengan tugas ni. Membacakan buku untuk si kecil dengan kerenahnya yang macam-macam.. kena sabar.. hmm, tapi suami saya boleh buat… ni yang bertambah sayang kat dia ni…

Thanks very much for my hubby…semoga bermanfaat

Teknik Tidur Dan Rehat Untuk Bakal Ibu


1) Jangan makan makanan berat kurang daripada 2 jam sebelum waktu tidur.

Hmm, kalau bakal ibu lapar juga dan tak tahan dah, nak makan juga.. (maklumlah orang mengandung ni suka makan banyak), ambil je makanan ringan yang senang nak hadam. Kalau saya, saya suka ambil buah kurma dalam 2 atau 3 biji, itu pun dah cukup akan mengenyangkan.

2) Amalkan rutin sebelum tidur seperti menggosok gigi, kunci jam, membaca majalah dan lakukan aktiviti yang akan membuatkan anda selesa.

Saya suka meletakkan satu atau dua bantal di bawah betis ketika berbaring, ia memang selesa terutama bila perut dah besar. Amalan membaca doa-doa dan surah-surah al-Quran memang digalakkan. Sebelum tidur,elok juga kita doakan supaya anak yang bakal lahir menjadi insan soleh atau solehah.

3) Jangan minum minuman berkafein.

Kenapa nak ambil minuman berkafein…? Kan ada banyak lagi minuman yang bleh kita minum. Paling elok, amalkan minum susu suam sebelum tidur. Banyak kebaikannya…

4) Jangan letak tugasan kerja anda berhampiran dengan tempat tidur anda.

Huh.. janganlah bawa balik tugasan kerja ke rumah.Tu kan tugasan tempat kerja,jadi buat saje di tempat kerja.. cuba bayangkan kalau kita bawa tugasan rumah ke tempat kerja… kan tak manis tu.. begitu la juga hal yang sebaliknya. Jadi, sewaktu anda berehat di rumah, ambillah masa untuk rehatkan diri anda yang dah penat tu dengan sebaiknya…

5) Ibu hamil sentiasa panas.

Memang benar ibu hamil sentiasa panas.. kalau dulu dah biasa pakai jubah, tudung labuh dan pakai stongen (sarung lengan), masa mengandung, dah tak sanggup nak pakai stongen. Betul kata orang, masa mengandung, kita akan rasa 2 kali ganda panas dari orang lain. Ini disebabkan perubahan hormon. Oleh itu, pastikan suhu bilik ketika anda berehat cukup sesuai dengan diri anda. Jika bayi anda tidur bersama, pastikan biar ada blanket, takut nanti si kecil kesejukkan… kesian dia nanti..

6) Pada trimester ketiga, kekerapan ke tandas akan mengganggu anda tidur. Ubah lokasi tempat tidur agar tidak terlalu jauh dari tandas.

Kekerapan nak ke tandas ni memang akan terjadi pada trimester ketiga. Kekadang sampai 4-5 kali kita akan bangun untuk buang air kecil. Teringat saya sewaktu mengandungkan Muhib dulu, waktu trimester ketiga tu bulan ramadhan, untuk tidak ketinggalan menunaikan solat tarawih secara berjemaah, saya gagahi juga untuk ikut ke mana jua suami pergi solat, oleh kerana suami jadi imam dan pentazkirah, waktunya agak lama untuk tunggu sampai suami saya habis selesai semua agenda. Masa tu,memang kerap saya ambil wuduk semula dek kerana terbatalnya wuduk... mujur setiap masjid ada tandas.. hmm..

7) Letakkan keperluan minuman hampir dengan tempat tidur kerana akan akan terjaga pada tengah malam untuk minum air.

Badan orang yang mengandung memang banyak perlukan air, tambahan pula sekarang cuaca agak panas. Tak cukup siang hari minum air, malam-malam pun akan bangun untuk dapatkan air. Hmm, untuk mana2 bakal ibu.. bersedialah anda..

8) Jika anda jenis yang sukar tidur, memadai dengan berbaring dan melelapkan mata serta berehat.

Anda tergolong dalam kategori mana, mudah atau sukar untuk tidur? Biasa orang mengandung ni kuat tidur. Tapi tak semua kan? Contohnya, saya sendiri memang sukar untuk tidur. Apa yang saya lakukan ialah, saya baca majalah i, Pa&Ma atau majalah lainnya. Bila dah jadi rutin tiap malam sebelum tidur, secara psikologi badan anda tahu bahawa tidak lama lagi anda akan tidur.. hmm,try la buat…

Saturday, April 21, 2007

Putik kapas, bahaya?


Sewaktu saya ingin membersihkan tahi telinga si kecil dengan menggunakan cotton bud, suami saya tiba-tiba melarang saya untuk berbuat demikian. Katanya putik kapas memampatkan lagi tahi telinga, bukan membersihkannya!.

Teringat saya bahawa saya pernah terbaca artikel dari Dr. Irfan Mohamad dari jabatan Orl-hns(ent), Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Hmm, betul ke? Habis tu nak bersihkan ia pakai apa yer? Selama 25 tahun ni ‘benda’ tu juga la yang saya pakai. Apa pun kita nak buat, mesti ada caranya dan pastikan ia bersederhana,kan? Janganla kuat sangat masa nak masukkan cotton bud tu, cukup kat bahagian luar tu je. Kena ‘slow-slow’ takut nanti tertanggal bahagian kapasnya dalam telinga, itu yang nanti akan jadi masalah. Pastu jangan la pula, tabiat ini menjadi rutin setiap hari..sampai 7 kali dalam seminggu, betul tak?

TIPS: Warna Penting Dalam Pemakanan

Apakah benar warna pada buah-buahan dan sayuran menggambarkan khasiatnya? Buah-nuahan berwarna oren atau kekuningan dikatakan mengandungi karotine dan sejenis fitokimia yang boleh mengurangkan risiko barah. Bagaimanapun belum ada cukup bukti untuk menyokong teori ini. Seorang pakar perubatan barat, David Heber dalam satu kajiannya pernah menyebut bahawa, warna merupakan elemen penting dalam mengamalkan pemakanan yang baik. Sebagai seorang pakar perubatan yang membuat kajian mengenai pemakanan dan pencegahan barah selama lebih 20 tahun. Menurutnya, mengambil buah-buahan dan sayuran setiap hari belum boleh menjamin seseorang itu mendapat pemakanan yang diperlukan oleh tubuh keranan sesetengahnya kekurangan warna!

Merah/ungu
Makanan ini mengandungi anthocyanins, antioksida yang berupaya mengurangkan risiko sakit jantung dan stroke. Antara buahnya ialah blackberry, blueberry,cherry, granberry, plum, prune, anggur merah atauungu, raspberry, epal merah,kubis ungu, pera merah dan strawberry.

Merah
Apa jua makanan yang berasaakan tomato termasuk sos tomato dan salsa, mengandungi lycopene iaitu antioksidan yang mampu memerangi sel barah. Anda boleh mencuba jambu, anggur merah dan tembikai.

jingga
Beta karotine dalam makanan berwarna oren boleh membantu kesihatran mata dan kulit selain berupaya mengurangkan risiko sesetengah barah. Apricot, lobak, mangga, labu dan kentang.

Jingga/kuning
Sekumpulan dengan keluarga oren dan dipercayai kaya dengan beta cryptoxanthin dan antioksidan yang boleh melindungi sel tubuh. Madu, buah oren, betik, peach, nenas dan tangerine.

Kuning/hijau
Baik untuk melindungi mata. Makanan ini mengandungi lutien dan zeaxanthin yang boleh membantu mengatasi katarak dan pembinaan otot. Avocado, mustard, jagung, timun, kacang hijau, peas,kiwi, tembikai susu dan bayam.

Hijau
Tumbuhan hijau diperkayai dengan kimia semulajadi yang dikenali sebagai isothiocyanates, seperti sulforaphane dan indoles. Semua bahan kimia ini boleh meragsang pengeluaran enzim menentang barah oleh hati. Bok choy, broccoli, kubis dan bunga kubis.

Putih/hijau
Bawang putih ban bawang hijau mengandungi allicin, penghalang tumor. Cendawan juga memiliki bahan kimia yang mampu mengurangkan risiko penyakit. Kesemua sayuran ini diperkayai dengan flavonoid yang berupaya melindungi sel tubuh dari musnah. Asparagus, daun saderi, daun kucai dan daun bawang

Friday, April 20, 2007

Resepi : Anniversary chocolate cake


(gambar sekadar hiasan)

Hmm, saya ada satu resepi kek coklat. Resepi ini di beri oleh mak mertua saya.. senang je buatnya. Nak buat tak ambil masa lama pun… kejab je. Dan yang penting… ia sedap. Selalu saya buat sebab suami suka makan.

Bahan-bahannya:
2 cawan gula kastor
1 buku butter (dicairkan)
1 cawan susu cair
1 sudu besar cuka
1 ½ cawan tepung gandum
½ cawan serbuk koko
1 ½ sudu the soda bikarbonat
4 biji telur

Cara membuatnya:
first of all, campurkan dulu susu cair bersama cuka. biar jadi susu masam. ketepikan ...Pukul telur dan gula, bila hancur gula, masukkan tepung gandum. Kemudian mentega cair dan separuh daripada susu masam tadi. Pukul selama 2 minit. Kemudian masukkan lagi lebihan susu masam tadi bersama serbuk koko dan soda. Pukul lagi 2 minit. Then, bakar…

Dah pun sudah..

Tapi kalau nak kukus pun boleh. Saya suka mengkukusnya…

Thursday, April 19, 2007

Maklumat Mengenai Al-Quran



  1. 30 juzuk.

  2. 114 surah, 87 surah yang diturunkan di Mekah dan 27 surah lagi di Madinah.
  3. 120 hizib (tempat berhenti membaca bagi mereka yang tidak mampu menghabiskan satu juzuk sehari).

  4. 6236 ayat keseluruhannya.

  5. Semua surah dimulakan dengan Basmalah melainkan surah at-Taubah, sementara dalam surah an-Naml mengandungi 2 Basmalah, iaitu ayat pertama dan ayat ke-20.

  6. 6 surah yang menggunakan nama anbiya’mseperti surah Hud, Ibrahim, Yunus, Yusuf, Muhammad dan Nuh.

  7. 5 surah yang dimulai dengan Alhamdulillah iaitu al-Fatihah, al-An’am, al-Kafi, Saba’, Fathir.

  8. 7 surah yang dimulai dengan Ha-Mim iaitu Ghofir, Fussilat, as-Syura, az-Zukhruf, ad-Dukhan, al-Jathiah dan al-Ahqaf.

  9. Surah yang dimulakan dengan tasbih dan disudahi dengan takbir ialah al-Isra’.

Doa Adalah Senjata Orang Mukmin


  1. Jalan menuju kejayaan dan keselamatan.

  2. Tangga untuk menuju kehadrat Allah.

  3. Tuntutan dan amalan para solihin dan arifin (golongan ahli sufi).

  4. Senjata untuk mengalahkan pihak musuh.

  5. Harapan golongan tertindas.

  6. Pembantu ketika senang dan susah.

  7. Bahtera pelayaran bagi orang yang melaksanakan perintah Allah dengan sebenar-benarnya.

  8. Pendamping antara seorang hamba dan tuhannya.

  9. Sebaik-baik penawar dan peyembuh yang mujarab.

  10. Intipati amal ibadat yang memiliki seribu rahsia dan fadhilat yang tidak terhitung banyaknya. Malah kata Nabi saw “Doa itu adalah ibadat seluruhnya” (H.R Tirmizi)

  11. Bukti seorang hamba itu menyerahkan diri kepada Allah dan bermunajat hanya kepadaNya.

  12. Bagi mereka yang tidak mahu berdoa,al-Quran menyifatkan mereka sebagai golongan yang angkuh dan sombong. Ia menepati ayat 60 surah Ghafir (al-mukminin) yang bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kepada Ku nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang yanag menyombongkan diri dari berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

Tuesday, April 17, 2007

Kau Ibarat Sehelai Daun Hijau

Kau ibarat sehelai daun hijau
Mudah menerima dan memahami
Apa yang kami ajari.


Moga kau menjadi anak soleh…

Penyejuk hati umi dan abi..
Taat perintah Allah..
Taat perintah Nabi..
Taat umi dan abi…


Doa itu sering kudodoikan buatmu…

Dan kau sering tersenyum…
Mungkin memahami doa umi-mu ini…


Suatu hari nanti

Sebagai pewaris harapan agama,
Bangsa dan negara


Akan berdiri di hadapan

Harus bersemangat waja
Menghadapi segala rintangan
Usah gentar menghadapi
Arus cabaran
Yang datang silih berganti


Umi dan abi mendoakan

Agar kau..
Cemerlang di dunia dan akhirat
Bahagia di dunia dan akhirat
Selamat di dunia dan akhirat

Gambar : Muhib dengan kawan baiknya yang baru dikenali sebentar tadi... ultraman. hehe

Snek Buat Si Kecil…


Ramai yang percaya kismis dan buah-buahan kering yang lain mampu mencerdaskan otak. Khasiat yang sama dipercayai terkandung dalam kacang pistachio dan gingko biloba. Kelebihan untuk merangsang otak khabarnya turut dimiliki antioksidan yang kaya dalam vitamin E dan C.

Apa yang pasti, anak saya memang gemar memakan kismis, kurma dan apricot kering. Buah-buahan inilah yang sering menjadi sneknya sejak berusia 5 bulan lagi. Saya sering menyuapnya kerana tahu ia mengandungi pelbagai khasiat seperti protein, serat, vitamin A dan C,serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potasium. Buah-buahan ini akan terus menjadi sneknya kerana dia memang menggemarinya. Apa yang saya lihat sekarang, ia memang mendatangkan kesan.

Sunday, April 15, 2007

Sa'adah



Tiga tahun berlalu
Segalanya bermula…
Kemanisan iman dikecapi
Ketenangan di hati yang sejahtera
Kedamaian terpeta di wajah
Menyenangkan di jiwa


Engkaulah Yang Maha Tahu
Menciptakan aku di sini..
Menjamah kitaran hidup
Pada kelompok makhluk yang kerdil
Landasan menuju..
Kematangan hidup


Bukan ku harapkan
Kemilau permata…
lambang keabadian gaya
Bukan juga.. gemerlap kemewahan
Cukup sekadar sa’adah…


Jalinan sejahtera
Anyaman bersama iman dan taqwa.


Aku bersyukur tatkala ini…
Anugerah Tuhan tidak ternilai..
Munajat syukurku hanya untukMu..
Moga sa’adah ini kekal hingga ke syurga.

Saturday, April 14, 2007

Penantian Seorang Ibu Berakhir...




Setiap kali saya meninggalkan anak untuk menghadiri kuliah, seringkali terbayang wajah dan gelak tawa si anak yang berada di rumah kala itu. Terasa sayup di hati berpisah dengan si kecil walau cuma beberapa jam! Begitu demikian perasaan seorang ibu.

Kisah Muhammad Nazrin amat menyentuh hati buat warga yang prihatin. Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, pastinya Nur Amizah Ahmad, ibu kepada Muhammad Nazrin sentiasa berendam air mata sebelum berita pertemuan dengan anaknya semalam, mengenangkan anak yang disayangi tidak diketahui di mana dan bagaimana keadaannya selepas hilang di Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman minggu lalu. Namun, Alhamdulillah setelah 2 minggu berlalu, penantian Nur Amizah berakhir kini. Hmm,betapa berbunganya hati si ibu….

Ummahatul- Mukminin…



KHADIJAH BINTI KHUWAILID (wafat 3 sebelum masihi)
Beliau adalah isteri Rasulullah yang pertama dan orang yang paling banyak membantu perjuangan Nabi ditahun-tahun pertama kenabian. Sebelum masa kenabian beliau dikenali sebagai “wanita suci”. Rasulullah menikahinya 15 tahun sebelum diangkat menjadi nabi. Putera puterinya dari Rasulullah ialah Qasim, Abdullah (kedua duanya meninggal dunia ketika masih kecil), Zainab, Ruqaiyah, Ummi Kalsum dan Fatimah. Beliau memberikan sokongan yang penuh kepada Rasullullah dalam perjuangan menegakkan Islam, samaada dari segi sokongan moral atau material. Beliau wafat pada “aamul-huzni” (tahun kesedihan) dan dimakamkan du Hujun.

AISYAH BINTI ABU BAKAR (wafat 25H)
Beliau dipersuntingkan oleh Rasulullah pada tahun kedua Hijrah dan satu-satunya isteri baginda yang dikahwini ketika masih gadis. Beliau isteri yang paling dicintai oleh baginda dan yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah. Beliau termasuk wanita yang paling pakar dalam ilmu agama dan etika. Wafat di Madinah dan dimakamkan di Baqi.

HAFSAH BINTI UMAR (wafat 45H)
Semenjak Islam muncul, beliau terus memeluk agama Islam. Beliau bersama suaminya ikut berhijrah ke Madinah, suaminya meninggal dunia selepas Perang Badar. Rasulullah melamarnya dari orang tuanya. Wafat di Madinah.

JUWAIRIAH BINTI HARITS BIN ABU DHIRAR (wafat 56H)
Nama asal beliau ialah Burrah binti Harits. Beliau ditawan oleh kaum muslimin ketika peperangan Bani Musthaliq dan diberikan kepada Tsabit untuk menrbus kemerdekaannya dengan imbalan sejumlah harta. Beliau pergi menghadap Rasulullah untuk meminta bantuan. Rasullullah menawarkan kepadanya persetujuan untuk membayar sejumlah harta yang disepakati itu, kemudian setelah beliau merdeka, Rasulullah pun menikahinya.

MAIMUNAH BINTI HARITS (wafat 50H)
Nama asalnya ialah Burrah, kemudian Rasulullah menukar dengan panggilan Maimunah. Beliaulah yang menghadiahkan dirinya kepada Nabi, kerananya turun ayat yang bermaksud : “ Perempuan mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi…” (Al-Ahzab,ayat 50)

MARIAH QIBTIAH (wafat 16H)
Seorang wanita Mesir yang dihadiahkan oleh Muqauqis, iaitu penguasa Mesir kepada Rasulullah pada tahun 7H. Setelah dimerdekakan, beliau dinikahi oleh Rasulullah dan mendapat seorang putera bernama Ibrahim. Setelah Rasulullah wafat, beliau dibiayai oleh Abu Bakar kemudian Umar. Wafat pada masa zaman pemerintahan Saidina Umar.

SAUDAH BINTI ZAM'AH (wafat 23H)
Beliau memeluk agama Islam bersama suaminya dan turut berhijrah ke Abessina. Dalam tahun Kedua Hijrah, suaminya meninggal dunia. Kemudian dinikahi oleh Rasulullah setelah Khadijah wafat. Rasulullah membawa beliau berhijrah ke Madinah. Beliau termasuk dikalangan isteri Nabi yang sering memberi giliran harinya kepada Aisyah.

SOFIAH BINTI HUYAI BIN AKHTAB (wafat 50H)
Sebelum Islam beliau adalah penganut Yahudi Bani Akhtab yang tertawan pada pererangan Khaibar. Rasululah memilih dan memerdekakannya, kemudian beliau memeluk Islam. Lalu Rasulullah menikahinya dan wafat di Madinah.

UMMU HABIBAH BINTI ABU SOFYAN (wafat 44H)
Nama beliau yang sebenar ialah Ramlah binti Abu Sofyan, beliau ikut hijrah ke Abessina bersama suaminya, tetapi suaminya terpengaruh di sana, lalu murtad dan meniggal dunia sebagai penganut Kristian. Rasulullah segera mengirim Amru bin Umaiah Dhumari untuk melamarnya untuk Rasulullah. Najasyi, penguasa Abessina menikahkannya kepada Rasulullah dengan mahar 400 dinar.

UMMU SALAMAH (wafat 57H)
Beliau ialah Hindun binti Umaiah, termasuk dalan kalangan sahabat wanita yang pertama memelik Islam. Beliau termasuk golongan yang ikut hijrah 2 kali (Abessina dan Madinah). Suaminya mati syahid dalam perang Badar, kemudian Rasulullah menikahinya. Beliau termasuk wanita yang bijak, berakhlak mulia dan pandai menulis serta membaca. Beliau dikurniakan usia yang panjang. Wafat di Madinah dan dimakamkan di Baqi.

ZAINAB BINTI JAHSY (wafat 20H)
Nama asal beliau ialah Burrah, sepupu kepada Rasulullah. Bernikah dengan Zaid bin Haritsah.
Setelah diceraikan beliau dinikahi oleh Rasulullah dan diberi nama Zainab. Dikenali dengan “Ummul Hakam”. Beliau sangat warak dan kuat beragama serta banyak bersedekah.